Wednesday, September 22, 2010

Cah Keting Politik dalam Pas?

Salam Aidil Fitri untuk seluruh umat Islam Maaf Zahir Batin...Persoalan menyelubungi samaada kewujudan politik 'cah keting' dalam mana-mana parti politik tatkala menjelang proses memilih pimpinan kerap menghantui ahli-ahli biasa mana-mana parti politik tanahair. Jikalau Umno berleluasa dengan pelbagai sumber rasuah samada berupa wang ringgit mahupun pelbagai kemudahan dan keseronokan duniawi, Pas pula agaknya lebih cenderung kepada hasutan mahupun hasad dengki sesama pimpinan.

Ahli Pas yang baru hendak berkecimpung dengan parti akan terkeliru perihal keadaan ini. Pada mereka Pas yang bertunjangkan Islam sebagai wadah perjuangan sepatutnya lebih mengutamakan asas perjuangan menegakkan agama Allah dari terus bergelumang dengan politik cantas mencantas ini. Lebih menyedihkan tikam menikam sesama kepimpinan dibuat tanpa segan silu bertunjangkan paksi ingin berkuasa, walhal , jika dinilai asas pengorbanan mahupun sumbangan sesetengah mereka ini tidaklah seberapa.

Lebih mengelirukan lagi, ahli-ahli bawahan yang bertungkus lumus sepanjang masa terus diketepikan hak mereka untuk bersuara untuk memilih pimpinan diperingkat atasan samaada kawasan mahupun negeri. Politik berpuak-puak terus subur didalam Pas sendiri dek kerana nafsu yang menjalar dalam diri untuk berkuasa. Proksi-proksi segelintir kepimpinan mula memainkan peranan mereka untuk memastikan kepimpinan mereka terus dilihat 'relevan' dimata kepimpinan atasan sepanjang masa walaupun hakikatnya adalah disebaliknya.

Nafsu untuk terus berkuasa ini tidak mungkin akan pudar jika kita tidak kembali kepada asas perjuangan yang sebenarnya. Perkara sebegini akan terus memburukkan imej Pas malahan imej pemimpin-pemimpin itu sendiri. Ahli-ahli biasa seperti kami yang baru hendak berkecimpung dengan lebih aktif didalam Pas akan merasa tertipu akibat mainan politik sebegini. Rata-rata ahli-ahli bawahan lebih optimistik dengan Pas jika kepimpinan lebih bersikap terbuka dan lebih professional menilai diri sendiri.

Persoalan 'Nawaitu' setiap individu pemimpin itu haruslah diutamakan daripada terus mengejar kuasa untuk memimpin. Jika benar wujudnya proksi-proksi yang bergerak secara halus mahupun terang-terangan untuk 'mencantas' mana - mana pemimpin sekalipun , haruslah , dihentikan serta merta demi menjaga asas perjuangan Pas.

Ahli - ahli Pas terutamanya yang ingin melihat 'perangai-perangai' buruk dan jijik Umno tidak menular dalam Pas akan terus hampa jika politik 'cah keting' ini subur menjalar dari hari ke hari.

No comments: