Saturday, July 30, 2011

Perutusan Ramadhan YAB TG Nik Aziz : Ramadhan Bulan Hidayah




Firman Allah SWT :

ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.

Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.

Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT :

اهدنا الصراط المستقيم

Yang bermaksud : “Tunjukilah kami jalan yang lurus..” – Surah al-Fatihah, ayat 6

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT :

صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Yang bermaksud : (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. – Surah al-Fatihah, ayat 7

Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :

مَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya..” – Surah an-Nisa’, ayat 69

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT. Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup. Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam. Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 27 Julai 2011

Saturday, July 23, 2011

Bicara Ku Li...

Ku Li ajak rakyat bersama Amanah lawan penyelewengan
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah tiba masanya untuk rakyat negara ini bangkit menentang segala penyelewengan yang berlaku termasuk rasuah, kronisme, sikap pelampau dan pembaziran.

Tegas beliau, rakyat jangan membiarkan perbuatan memanipulasikan politik digunakan untuk memecahkan perpaduan rakyat melalui dasar dan keputusan yang memihak kepada pihak yang berkepentingan.

“Kita jangan membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari mana-mana pihak pun untuk memecahkan rakyat majoriti melalui dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan golongan-golongan minoriti yang berkepentingan.

“Saya memerhatikan dengan hati yang gusar melihat keadaan yang amat merunsingkan iaitu keadaan perhubungan antara kaum dan antara agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jika keadaan ini saya tambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan orang perseorangan yang secara terang-terangan sengaja merosakkan institusi-institusi perpaduan negara untuk kepentingan mereka,” katanya pada perasmian Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Tegas Tengku Razaleigh (gambar) yang lebih dikenali sebagai “Ku Li”, masa untuk melihat segala penyelewengan yang berlaku sudah tamat dan sekarang untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing.

“Inilah masanya golongan majoriti yang menyepi selama ini mendengarkan suara mereka, inilah masanya ayah yang selama ini senyap untuk bersuara bersama alunan dan jeritan suara yang lain dan bertanya ‘kami mahukan kebenaran, tidak paparan palsu dan penipuan’.

“Inilah masanya suri rumah tangga yang selama ini berdiam diri dan tidak bersuara berkata ‘saya mahukan masa depan anak-anak saya yang bebas daripada segala macam masalah yang dicetuskan oleh pelbagai pihak dan individu politik, ekonomi dan kumpulan sosial yang berkepentingan sendiri’.

“Ini masanya untuk orang muda dan dewasa yang bekerja berkata ‘kami mahu tahu ke manakah arah tuju negara kita dan kami mahu tahu bahawa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik dan benar’,” katanya.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini berkata, Amanah yang dianggotai beberapa tokoh pemimpin bukan untuk menentang kerajaan tapi adalah untuk hak rakyat.

“Suara ini adalah suara perpaduan, suara solidariti, suara kebenaran dan kita akan berdiri teguh menentang wabak rasuah, kronisme, perkauman, sikap pelampau dan pembaziran.

“Kita akan berkata dahulukan kepentingan kebangsaan yakni kepentingan negara dan kepentingan rakyat, ini matlamat kita,” katanya.

Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.

Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.

Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.

“Saya berdoa moga-moga kita tidak lagi lepas tangan dan berdiam diri menjadi pemerhati dan tidak terlibat, melihat perkembangan dan berlalu di depan kita, mengharapkan orang lain akan melakukannya.

“Jika kita bersikap demikian bererti kita berada dalam dunia ilusi dan impian dan kita akan menghadapi padahnya apabila padah itu berlaku nanti, kita perlu melakukan sesuatu yang berlain,” tambah Tengku Razaleigh.

Dari: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-ajak-rakyat-bersama-amanah-lawan-penyelewengan/


Ku Li: Gugur pemusatan kuasa di tangan PM, Peguam Negara
Oleh G Manimaran
June 19, 2011

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu.

Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang “imbang dan periksa” demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri.

“Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam tadi.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera.

“Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata),” kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957.

“Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri).

“Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang,” kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang.

Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi.

Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes.

“Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009.

Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media.

Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali.

“Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran,” katanya.

Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang.

“Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu,” kata pemimpin kelahiran Kelantan ini.

Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik “talam dua muka” dan “cakap angin” — seolah-olah mempamerkan kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’.

Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat.

“Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa.

“Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum,” kata beliau.

Dari: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-gugur-pemusatan-kuasa-di-tangan-pm-peguam-negara/


Ku Li: Melayu tidak rasis tapi dimanipulasi pihak berkepentingan Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan orang Melayu bukan rasis tetapi membawa sikap perkauman kerana telah dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan.

Dalam ucapan perasmian Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai beliau, Tengku Razaleigh (gambar) berkata orang Melayu yang bersifat rasis adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan “kurang Islamik.”

“Saya tahu bahawa orang Melayu termasuk kaum-kaum lain di negara ini tidak rasis dan tidak pernah rasis tetapi bersikap perkauman kerana dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan supaya berkelakuan, berfikir dan bertindak sebagai ‘komunalis’ yakni kaum yang bersifat perkauman.

“Bagi orang Melayu sikap seperti itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat kurang Islamik mereka cenderung ke arah perkauman atau rasis, berbalik kepada zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad SAW (yang) berdakwah menentang kepercayaan dan fikiran jahiliah,” katanya di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.

Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.

Amanah yang dilancarkan hari ini terbuka kepada seluruh rakyat negara ini untuk menyertainya dengan bayaran RM10 (untuk ahli biasa) dan RM100 (untuk ahli seumur hidup).

Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” berkata Amanah bukan sebuah pertubuhan pendesak atau mahu bermain politik.

“Kita berkumpul sebab kebanyakan daripada kita secara tulus berasa amat prihatin dan risau, gundah dan sedih melihat apa yang berlaku di negara kita yang tercinta.

“Warga Malaysia yang berfikiran benar dan saksama jangan berpeluk tubuh, menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap salah laku buruk dan keadaan yang dasyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku.

“Kita mesti bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah ketahanan negara kita selama ini akan hancur musnah,” katanya dalam ucapan yang bertajuk “Suara Menuntut Kebenaran, Keadilan dan Rasa Timbang Rasa.”

Tegas Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini, pihaknya akan cuba mengembalikan nilai-nilai teras dalam membina kehidupan perpaduan dan sikap menerima antara satu sama lain.

“Rakyat mahukan perubahan dan mengharapkan perubahan dan kita mempunyai misi yang cukup mendesak untuk bergerak menuju ke arah itu, kini terserah kepada kita semua untuk melakukan perubahan.

“Saya ingin menggalakkan saudara menghubungi saudara-mara dan sahabat handai untuk menolong kita mendapatkan sokongan mereka terhadap usaha mulia ini... mari kita pacukan gerakan ini sampai ke tahap dapat menjangkit ke seluruh negara,” katanya.

Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.

Selain itu Amanah juga bertujuan memperakui, menegakkan semula dan menghormati kedaulatan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia, memastikan institusi-institusi kebangsaan menghormati dan mempertahakan undang-undang, prinsip demokrasi, hak dan nilai-nilai universal.

Ia juga bersandarkan tujuan menyokong kerajaan dan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, berdaya saing dan berkesan, bebas rasuah dan kronisme, bersih dan jujur, adil dan amanah yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Selain itu kata Tengku Razaleigh, beliau sendiri akan turun ke seluruh negara untuk meruntuhkan “tembok” persengketaan antara satu sama lain.

“Jangan lagi majoriti daripada kita yang selama ini membisu tidak dipedulikan di negara yang menjadi kebanggaan dan sanjungan kita.

“Jika misi ini dikendalikan dan diuruskan dengan betul, jujur dan ikhlas negara kita yang bertuah dan hebat ini boleh menjadi satu ruang dan tempat untuk melahirkan kemakmuran dan keamanaan untuk semua,” katanya.

Dari: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-melayu-tidak-rasis-tapi-dimanipulasi-pihak-berkepentingan/

Saturday, July 16, 2011

Bersih..Harapan Baru

Deruman kereta tidak kedengaran langsung sepanjang jalan Tuanku Abdul Rahman dari stesyen LRT Bank Negara menuju ke Masjid Jamek pagi 9 Julai 2011. Bandar Kuala Lumpur umpama diserang garuda..sunyi dan sepi. Tiada langsung kelihatan deruan kereta, tiada langsung kelihatan 'Mat Bangla' , malah tiada juga kelihatan bas-bas mini wilayah yang sentiasa sibuk dijalanan....Nampaknya, PDRM dibawah telunjuk IGP Umno, amat berjaya mengekang aliran lalu lintas pada pagi itu.

Namun, kekangan ini langsung tidak memberi kesan kepada puluhan ribu rakyat untuk membanjiri jalan menuju stadium keramat 'Stadium Merdeka'. Rakyat dari seluruh negara beduyun-duyun menongkah arus kekangan polis bersatu hati menuntut pilihanraya yang bersih. Deruman enjin diganti dengan laungan takbir...tempik sorak serta jeritan rakyat berkumandang tatkala disembur gas pemedih mata mahupun pancutan air yang cuba menghalang kemaraan rakyat menuju stadium.

Rakyat berbilang bangsa tak kira tua dan muda bersatu hati mahukan perubahan demi masa depan generasi akan datang. Jika difikirkan apa faedahnya ? Apa rasionalnya berhimpun ?

Buat pertama kalinya ada diantara kami merasa pedihnya gas pemedih mata, buat pertama kalinya kami dikejar polis dan buat pertama kalinya hati ini pengalaman baru menyelubungi hati yang berdebar dan bersemangat untuk menentang kebatilan.

Bersih 2 yang julung kali kami sertai memberi kesan yang amat mendalam pada setiap peserta. Kekangan pihak berkuasa melalui media massa, sekatan jalan raya malah ugutan penangkapan sedikit sebanyak menimbulkan persoalan dikalangan kami. Namun setelah melihat sambutan rakyat dari setiap lapisan masyarakat , tua muda , lelaki dan perempuan, malah berbilang bangsa memberi satu kekuatan dihati kami untuk terus bersama-sama rakyat yang lain menuntut keadilan.

Pasca Bersih 2 pula lebih menyakitkan hati lantaran tohmahan demi tohmahan keatas rakyat terus dimainkan media. Malah ada pemimpin-pemimpin Umno melabelkan rakyat sebagai pengkhianat negara kerana inginkan ketelusan. Kami dicemuh, malah ada yang sanggup memutarbelitkan fakta untuk terus menafikan hak rakyat kepada sebuah pilihanraya yang adil. Pecacai-pecacai dari cerdik pandai pula berduyun-duyun mengutarakan komen-komen yang jika dibandingkan dengan segala sijil yang ada pada mereka selama ini seharusnya dibuang kedalam tong sampah.

Najib pula seperti biasa menafikan hak rakyat dan terus mempertahankan SPR sebagai telus dan saksama dalam mengendalikan pilihanraya. Alasan bahawa Pakatan berjaya menafikan majoriti 2/3 dalam dewan rakyat diulang kali dan menjadi alasan untuk terus mempergunakan SPR. Namun, Najib perlu sedar, jika SPR lebih telus dalam PRU 12 yang lalu, Pakatan Rakyat sebenarnya sudah membentuk kerajaan bukannya BN.

Kepimpinan PDRM pula seperti cuba berdolak dalik setelah keganasan yang dilakukan mereka mendapat kecaman masyarakat dunia. Sesetengahnya menjadi seperti cacing kepanasan cuba mengenepikan fakta yang jelas terpampang dimedia-media elektronik masa kini. Keganasan FRU serta Polis menangani pendemo jelas menyalahi hak rakyat dan terus menjadi bualan seluruh dunia lantas mereka cuba pula untuk menyalahkan rakyat sebagai pencetus provokasi. Kepada PDRM , usahlah terus menerus menegakkan benag basah sehingga mencerminkan kebodohan sendiri. Rakyat sekarang ini celik IT malah dapat menilai yang mana kebenaran dan yang mana pembohongan.

Kerajaan seharusnya lebih gentlemen untuk menilai tuntutan Bersih 2 untuk satu pilihanraya yang adil dan saksama dan memberi kebenaran sepenuhnya kepada rakyat untuk memilih barisan kepimpinan yang benar-benar disenangi rakyat.......

Thursday, July 14, 2011

WORLD BERSIH

BERSIH KUALA LUMPUR


BERSIH PORTLAND


BERSIH SAN FRANCISCO


BERSIH OTTAWA


BERSIH OSAKA


BERSIH NEW ZEALAND


BERSIH NEW YORK


BERSIH MELBOURNE


BERSIH LONDON


BERSIH HONG KONG

BERSIH GENEVA


BERSIH WASHINGTON DC


BERSIH CANBERRA


BERSIH SYDNEY


BERSIH ADELAIDE


BERSIH FRANCE

Monday, July 11, 2011

Bersih



Kata arwah mak, apa-apa pun yang kita buat mestilah BERSIH...Kalau berpakaian, pakai pakaian yang bersih... kalau makan, makan makanan yang bersih...kalau minum , make sure minum air bersih ... bak kata, semuanya mestilah bersih kerana kebersihan mencerminkan keimanan...

Tapi, yang herannya, kenapa pula bila rakyat mahukan kebersihan dalam pilihanraya, rakyat ditolak mentah-mentah..Rakyat dikatakan cuba bermain api , cuba mencetuskan huru hara, cuba juga untuk mencetuskan ketidakstabilan politik ? Malah ada yang sanggup mengatakan , rakyat dipengaruhi anasir luar kerana cuba menyatakan pendirian mereka ?

Mungkin juga demonstrasi jalanan bakal menjadi satu krisis jika tidak ditangani dengan baik..mungkin juga akan ada kejadian huru hara akibatnya , jika ada provokasi..mungkin juga ada peniaga-peniaga yang rugi semasa demonstrasi nanti...Tapi jika ianya dikawal selia oleh pihak polis dengan baik..ini semua tidak akan menjadi satu halangan. Bukan kita tidak biasa menganjurkan perarakan besar ? Maulud Nabi, Hari Kemerdekaan malah citra warna juga mendapat sambutan puluhan ribu rakyat..tapi tidak pula kedengaran huru hara berlaku.



Bersih 2 baru sahaja berakhir dengan jayanya biarpun ditentang habis-nabisan oleh pihak polis atas arahan kerajaan, rakyat puluhan ribu terus mara menuju Kuala Lumpur. Birpun, tembakan gas pemedih mata mahupun pancutan air dari pihak FRU hari itu, rakyat bangkit menyatakan pendirian mereka, mereka mahukan pilihanraya yang bersih dari segala anasir-anasir penipuan.

Tuntutan-tuntutan yang dibuat bukannya memerlukan perubahan kearah keburukan, malah bukannya inginkan sesuatu yang diluar kemampuan SPR mahupun kerajaan. Yang pastinya, rakyat dapat menilai dengan waras apa yang selama ini diamalkan SPR perlukan pembaikan kerana jelas pilihanraya selama ini memerlukan anjakan paradigma jika ingin melihat demokrasi yang sebenarnya dipraktikan di Malaysia.




Sekalung Tahniah kepada seluruh rakyat yang menyertai Himpunan Bersih 2 tahun ini, kerana anda berjaya membuka mata seluruh rakyat Malaysia yang lainnya. Diharap yang lainnya akan terus menjadikan Bersih 2 sebagai wadah untuk membuktikan kepada kerajaan, rakyat akan bangkit di PRU 13 nanti dan nantikan perubahan yang lebih besar InsyaAllah.....