Ku Li ajak rakyat bersama Amanah lawan penyelewengan
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Julai — Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah tiba masanya untuk rakyat negara ini bangkit menentang segala penyelewengan yang berlaku termasuk rasuah, kronisme, sikap pelampau dan pembaziran.
Tegas beliau, rakyat jangan membiarkan perbuatan memanipulasikan politik digunakan untuk memecahkan perpaduan rakyat melalui dasar dan keputusan yang memihak kepada pihak yang berkepentingan.
“Kita jangan membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari mana-mana pihak pun untuk memecahkan rakyat majoriti melalui dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan golongan-golongan minoriti yang berkepentingan.
“Saya memerhatikan dengan hati yang gusar melihat keadaan yang amat merunsingkan iaitu keadaan perhubungan antara kaum dan antara agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jika keadaan ini saya tambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan orang perseorangan yang secara terang-terangan sengaja merosakkan institusi-institusi perpaduan negara untuk kepentingan mereka,” katanya pada perasmian Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.
Tegas Tengku Razaleigh (gambar) yang lebih dikenali sebagai “Ku Li”, masa untuk melihat segala penyelewengan yang berlaku sudah tamat dan sekarang untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing.
“Inilah masanya golongan majoriti yang menyepi selama ini mendengarkan suara mereka, inilah masanya ayah yang selama ini senyap untuk bersuara bersama alunan dan jeritan suara yang lain dan bertanya ‘kami mahukan kebenaran, tidak paparan palsu dan penipuan’.
“Inilah masanya suri rumah tangga yang selama ini berdiam diri dan tidak bersuara berkata ‘saya mahukan masa depan anak-anak saya yang bebas daripada segala macam masalah yang dicetuskan oleh pelbagai pihak dan individu politik, ekonomi dan kumpulan sosial yang berkepentingan sendiri’.
“Ini masanya untuk orang muda dan dewasa yang bekerja berkata ‘kami mahu tahu ke manakah arah tuju negara kita dan kami mahu tahu bahawa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik dan benar’,” katanya.
Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini berkata, Amanah yang dianggotai beberapa tokoh pemimpin bukan untuk menentang kerajaan tapi adalah untuk hak rakyat.
“Suara ini adalah suara perpaduan, suara solidariti, suara kebenaran dan kita akan berdiri teguh menentang wabak rasuah, kronisme, perkauman, sikap pelampau dan pembaziran.
“Kita akan berkata dahulukan kepentingan kebangsaan yakni kepentingan negara dan kepentingan rakyat, ini matlamat kita,” katanya.
Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.
Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.
Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.
“Saya berdoa moga-moga kita tidak lagi lepas tangan dan berdiam diri menjadi pemerhati dan tidak terlibat, melihat perkembangan dan berlalu di depan kita, mengharapkan orang lain akan melakukannya.
“Jika kita bersikap demikian bererti kita berada dalam dunia ilusi dan impian dan kita akan menghadapi padahnya apabila padah itu berlaku nanti, kita perlu melakukan sesuatu yang berlain,” tambah Tengku Razaleigh.
Dari: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-ajak-rakyat-bersama-amanah-lawan-penyelewengan/
Ku Li: Gugur pemusatan kuasa di tangan PM, Peguam Negara
Oleh G Manimaran
June 19, 2011
KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu.
Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang “imbang dan periksa” demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen.
“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri.
“Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam tadi.
Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera.
“Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata),” kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957.
“Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri).
“Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang,” kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang.
Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi.
Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes.
“Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987.
Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009.
Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media.
Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.
Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali.
“Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran,” katanya.
Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang.
“Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu,” kata pemimpin kelahiran Kelantan ini.
Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik “talam dua muka” dan “cakap angin” — seolah-olah mempamerkan kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’.
Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat.
“Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa.
“Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum,” kata beliau.
Dari: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-gugur-pemusatan-kuasa-di-tangan-pm-peguam-negara/
Ku Li: Melayu tidak rasis tapi dimanipulasi pihak berkepentingan Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Julai — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan orang Melayu bukan rasis tetapi membawa sikap perkauman kerana telah dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan.
Dalam ucapan perasmian Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai beliau, Tengku Razaleigh (gambar) berkata orang Melayu yang bersifat rasis adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan “kurang Islamik.”
“Saya tahu bahawa orang Melayu termasuk kaum-kaum lain di negara ini tidak rasis dan tidak pernah rasis tetapi bersikap perkauman kerana dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan supaya berkelakuan, berfikir dan bertindak sebagai ‘komunalis’ yakni kaum yang bersifat perkauman.
“Bagi orang Melayu sikap seperti itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat kurang Islamik mereka cenderung ke arah perkauman atau rasis, berbalik kepada zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad SAW (yang) berdakwah menentang kepercayaan dan fikiran jahiliah,” katanya di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.
Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.
Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.
Amanah yang dilancarkan hari ini terbuka kepada seluruh rakyat negara ini untuk menyertainya dengan bayaran RM10 (untuk ahli biasa) dan RM100 (untuk ahli seumur hidup).
Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” berkata Amanah bukan sebuah pertubuhan pendesak atau mahu bermain politik.
“Kita berkumpul sebab kebanyakan daripada kita secara tulus berasa amat prihatin dan risau, gundah dan sedih melihat apa yang berlaku di negara kita yang tercinta.
“Warga Malaysia yang berfikiran benar dan saksama jangan berpeluk tubuh, menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap salah laku buruk dan keadaan yang dasyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku.
“Kita mesti bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah ketahanan negara kita selama ini akan hancur musnah,” katanya dalam ucapan yang bertajuk “Suara Menuntut Kebenaran, Keadilan dan Rasa Timbang Rasa.”
Tegas Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini, pihaknya akan cuba mengembalikan nilai-nilai teras dalam membina kehidupan perpaduan dan sikap menerima antara satu sama lain.
“Rakyat mahukan perubahan dan mengharapkan perubahan dan kita mempunyai misi yang cukup mendesak untuk bergerak menuju ke arah itu, kini terserah kepada kita semua untuk melakukan perubahan.
“Saya ingin menggalakkan saudara menghubungi saudara-mara dan sahabat handai untuk menolong kita mendapatkan sokongan mereka terhadap usaha mulia ini... mari kita pacukan gerakan ini sampai ke tahap dapat menjangkit ke seluruh negara,” katanya.
Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.
Selain itu Amanah juga bertujuan memperakui, menegakkan semula dan menghormati kedaulatan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia, memastikan institusi-institusi kebangsaan menghormati dan mempertahakan undang-undang, prinsip demokrasi, hak dan nilai-nilai universal.
Ia juga bersandarkan tujuan menyokong kerajaan dan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, berdaya saing dan berkesan, bebas rasuah dan kronisme, bersih dan jujur, adil dan amanah yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.
Selain itu kata Tengku Razaleigh, beliau sendiri akan turun ke seluruh negara untuk meruntuhkan “tembok” persengketaan antara satu sama lain.
“Jangan lagi majoriti daripada kita yang selama ini membisu tidak dipedulikan di negara yang menjadi kebanggaan dan sanjungan kita.
“Jika misi ini dikendalikan dan diuruskan dengan betul, jujur dan ikhlas negara kita yang bertuah dan hebat ini boleh menjadi satu ruang dan tempat untuk melahirkan kemakmuran dan keamanaan untuk semua,” katanya.
Dari: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-melayu-tidak-rasis-tapi-dimanipulasi-pihak-berkepentingan/
No comments:
Post a Comment