Monday, November 2, 2009

DUN Perak ....Bubar ????



Terdengar spekulasi bahawa DUN Perak akan dibubarkan pada 6 hb November ini sehari selepas Mahkamah Persekutuan menetapkan siapa Menteri Besar Perak yang sah. Setelah hampir setahun kemelut negeri Perak in berlarutan, dan setelah hari demi hari rekod pencabulan perlembagaan Malaysia diratah oleh BN, mungkinkah kuasa pemerintahan kembali kepada rakyat untuk menentukannya?

Adakah masih ada sisa-sisa keadilan didalam mahkamah Malaysia? Bagi Pakatan Rakyat, jika Dr Seri Nizar diumumkan sebagai MB yang sah, besar kemungkinan beliau akan mendapatkan perkenan Duli Tuanku Sultan Perak untuk mengisytiharkan pembubaran Dun. Namun apa yang menarik perhatian sekarang adalah lebih kepada tahap kesediaan Pakatan Rakyat dan BN untuk menghadapi pilihanraya?

BN berpendapat mereka telah cukup bersedia untuk menghadapi mana-mana pilihanraya lebih-lebih lagi setelah kemenangan mereka di Bagan Pinang. Bagi BN, gelombang tsunami PRU 12 sudah semakin kendur dan kesannya telah berhenti di Bagan Pinang. Bagi mereka sokongan kaum bukan Melayu khasnya kaum India sudah kembali kepada BN, sokongan orang Melayu pula semakin beralih kepada mereka. Apakah dengan kemenangan BN di Bagan Pinang sudah boleh dijadikan kayu pengukur kepada prestasi BN cuma dapat dijawab oleh pengundi-pengundi berdaftar di Perak. Kerangka sokongan yang telah lama ujud selama ini bagi BN mungkin sudah kembali memihak kepada mereka. Ditambah pula dengan keadaan Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini.

Adakah momentum Pakatan Rakyat semakin kendur ataupun ianya cuma keadaan sementara dan Pakatan Rakyat akan kembali mencengkam BN sekali lagi? Jawapan kepada persoalan ini hanya boleh dijawab oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sendiri. Mutakhir ini sering kita dengar pelbagai masaalah yang timbul disebabkan oleh Adun Pakatan Rakyat. Rakyat semakin hari semakin dahagakan khidmat yang baik dari pemimpin - pemimpin Pakatan Rakyat setelah 52 tahun mereka diperkudakan. Rakyat bangkit memilih Pakatan Rakyat kerana rakyat bencikan tindak tanduk BN dan seharusnya pemimpin - pemimpin Pakatan Rakyat lebih bertanggung jawab dan bekerja keras untuk memenangi hati rakyat. Itupun jika Pakatan Rakyat mahu terus memerintah negeri-negeri yang dimenangi pada PRU 12 lalu ataupun mahu ke Putra Jaya pada PRU 13 nanti.

Dimasa ini, rakyat sedang menilai prestasi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Rakyat mahu satu perubahan yang drastik berbeza dari apa yang mereka hadapi selama 52 tahun. BN sekarang ini seakan berada dihujung tanduk sehinggalah PRU 13 nanti. Jadi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat haruslah menjadikan sekelumit peluang yang ada sekarang ini berpihak kepada Pakatan Rakyat.

No comments: