Friday, February 5, 2010

Demo di Pulau Pinang



Jumaat 5 Februari 2010, hampir 1000 orang Melayu terdiri daripada NGO- NGO Melayu yang diketuai oleh Presiden Perkasa Ibrahim Ali, berdemo membantah kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng dengan menuduh beliau telah meminggirkan orang Melayu Islam Pulau Pinang hampir 2 tahun sejak kemenangan Pakatan Rakyat di PRU 12 pada tahun 2008.

Berbaju dan lilitan kepala berwarna merah seakan satria yang bersedia berperang demi mempertahankan maruah orang- orang Melayu, mereka-mereka yang berdemo ini seakan-akan dibantu seluruh agensi kerajaan seperti bomba dan polis gah menuju ke pejabat Ketua Menteri di Komtar untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri. Efigi Ketua Menteri dibakar, dan sekonyong-konyong bomba datang memadamkannya setelah selesai. Pelbagai kain rentang diarak bagi menunjukkan kekuasaan orang Melayu di Pulau Pinang termasuklah amaran kepada Ketua Menteri agar tidak meminggirkan orang Melayu di Pulau Pinang ini. Semuanya seakan demo yang berbentuk ke'Umno'an iaitu lebih kepada membela nasib Melayu..Melayu..Melayu.

Berdasarkan fakta - fakta yang telah dimanipulasikan oleh media-media, mereka berarak sambil mambawa kain-kain rentang mengutuk kepimpinan Guan Eng yang dikatakan bersifat perkauman dan menidakkan hak-hak orang Melayu Pulau Pinang. Apa yang dikesalkan adalah manipulasi informasi yang tidak tepat digunapakai oleh mereka untuk membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu Pulau Pinang secara membabi buta.

Hakikat yang sebenarnya adalah disebaliknya, sejak Pulau Pinang diperintah oleh Pakatan Rakyat peruntukkan kearah menjurus pembangunan Islam di Pulau Pinang telah dinaikkan 100% berbanding semasa pemerintahan BN. Peruntukkan tahun 2008 oleh BN untuk hal ehwal Islam hanyalah RM 12.5 Juta sedangkan belanjawan mengurus hal ehwal Islam telah dinaikkan sehingga RM 20 Juta pada tahun 2009 dan terbaru untuk belanjawan 2010, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 24 Juta. Malah peruntukkan sejumlah RM 1.5 Juta kepada golongan hufaz di Pulau Pinang juga merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Umno/BN selama ini. Fakta-fakta ini tidak langsung menjadi perhatian bagi mereka-mereka yang berdemo.

Alangkah malangnya jika kita terus menghentam kerajaan negeri tanpa membuat analisa yang tepat dan sentimen yang digunakan untuk menghentam kerajaan negeri hanyalah umpama bak kata perpatah 'menepuk air dilantai terpercik kemuka sendiri'. Demo ini yang kemungkinan besarnya didalangi oleh pihak 'Umno/BN' untuk menyerang keharmonian rakyat Pulau Pinang hasil keberkesanan pemerintahan yang adil dan telus oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Mereka iri hati melihat kejyaan demi kejayaan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang sehingga ini mampu menjana ekonomi negeri hinggakan belanjawan defisit RM35 juta yang diramalkan oleh BN pada tahun 2008 telah berjaya ditukarkan kepada belanjawan yang mengalami lebihan sebanyak RM 88 Juta oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar. Pada 2008, (seramai) 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu, telah menerima projek melalui sebut harga. Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka. Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja. Ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah meminggirkan kontraktor Melayu seperrti yang dilaung-laungkan oleh Umno/BN selama ini. Apa sahaja yang dilakukan Pakatan Rakyat selama memerintah Pulau Pinang tidak langsung diberitakan kepada rakyat kerana media-media terus dikongkong.

Apa yang pasti selama Umno/BN memerintah Pulau Pinang 50 tahun yang lalu, Melayu Pulau Pinang terus dipinggirkan mereka hinggakan Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir juga bersependapat tentang kedudukan Melayu Pulau Pinang hasil tinjauan beliau sendiri. Apakah Umno sudah lupa siapa yang memerintah Pulau Pinang selama ini? Adakah dek kerana 2 tahun pemerintahan Pakatan Rakyat , Melayu Pulau Pinang menjunam teruk berbanding 50 tahun pemerintahan BN ?

Kepada pendemo-pendemo semalam...berdemolah dengan bijaksana kerana perbuatan mereka semalam hanyalah membuka pekung mereka sendiri kerana fakta yang dibawa jauh dari hakikat yang sebenar.

No comments: