Antara alasan kerajaan menaikkan harga gula 25 sen sekilogram baru - baru ini selain untuk menyelaraskan subsidi , juga adalah kerana keperihatinan kerajaan terhadap taraf kesihatan rakyat. Gula akan menimbulkan masaalah kesihatan jika diambil secara berlebihan. Jadi dengan kenaikkan harga tersebut, kerajaan telah berjaya menyediakan satu formula pengurangan pengambilan gula oleh rakyat secara automatik.
Alasan kerajaan tersebut cukup menggelikan hati kerana kerajaan sanggup mempermainkan hak rakyat dan mengeluarkan pelbagai alasan yang boleh dikatakan lucu demi kepentingan politik mereka. Apakah alasan yang sebenarnya disebalik kenaikkan harga barangan utama yang kebanyakkan rakyat amat memerlukannya? Apakah kenaikkan barangan keperluan tersebut terjadi setelah kegagalan kerajaan mengutip hasil judi bolasepak baru-baru ini? Hasil tentangan sebahagian besar rakyat keatas perlaksanaan judi bolasepak telah mengakibatkan kerajaan BN mengalih kepada kenaikkan harga barangan utama rakyat kononnya untuk menyelaraskan subsidi.
Seharusnya kerajaan menaikkan harga beberapa barangan lain untuk memastikan rakyat terus berada dalam keadaan sihat selalu. Kerajaan disarankan menaikkan harga daging dan juga harga hasil laut. Ini adalah kerana , daging akan mengakibatkan kenaikkan tahap kolestrol dan hasil laut seperti sotong dan udang boleh mengakibatkan kenaikkan tahap asid urik dalam badan jika diambil berlebihan. Tahap asid urik yang tinggi boleh membawa kepada penyakit 'gaut' yang kronik. Oleh itu, jika inilah alasan yang diberikan kerajaan , haruslah kerajaan menaikkan harga barangan daging dan juga hasil laut.
Lebih menggelikan hati, apabila tindakan drastik beberapa pakar kesihatan yang mendokong segala tindakan kerajaan dengan berlumba-lumba memberi reaksi positif keatas tindakan kerajaan tersebut. Sekonyong-konyong timbullah pelbagai pendapat yang 'mengiakan' alasan mereka menjustifikasikan kenaikkan harga tersebut.
Apa yang mengecewakan kita, adalah , tindakan kerajaan ini dilihat langsung tidak perihatin kepada permasaalahan yang lebih kronik dihadapi rakyat pada masa sekarang ini. Dengan keadaan kuasa membeli rakyat yang semakin berkurangan, dengan kadar inflasi yang gagal diimbangi oleh kenaikkan gaji mereka, kerajaan seharusnya lebih perihatin dengan keadaan in dan seboleh-bolehnya mengelak daripada menaikkan harga barangan tersebut.
Rakyat sekarang ini dilihat terus dihimpit dengan kenaikkan harga barangan setiap tahun namun sumber kewangan mereka terus berada ditakuk lama. Ada diantara pekerja swasta yang dibekukan kenaikkan gaji mereka hampir 2 tahun akibat kelembapan ekonomi. Namun, terpaksa pula menghadapi kenaikkan harga barangan keperluan ini sedangkan masih berlaku ketirisan dana kerajaan berbilion ringgit hasil ketidakkecapan kerajaan menguruskannya.
Lantas, kerajaan sekarang ini seharusnya lebih bersikap mencermin diri dan berusaha mnguruskan dana mereka dengan lebih berhemah dan berjimat cermat sebelum melaksanakan apa saja tindakan yang membebankan rakyat.
No comments:
Post a Comment