Wednesday, March 10, 2010

YB Zul Nak Apa Sebenarnya ?


Pilihanraya 2008 menyaksikan buat pertama kalinya seorang ahli Parlimen dari Kulim Bandar Baru bergerak ke Parlimen Malaysia dengan menunggang motorsikal. Kesederhanaan yang ditunjukkan memikat hati hampir seluruh pendokong Pakatan Rakyat sebelum ini. Kenangan mendengar pidato beliau yang bersemangat menyentuh kepincangan dan ketidakadilan pemerintah yang sekular BN mendapat perhatian rakyat.

YB Zulkifli Noordin dibawah naungan PKR bergerak seiring dengan Pakatan Rakyat hampir 2 tahun menentang Umno/BN sehinggalah isu kontroversi penggunaan 'Kalimah Allah'. Pegangan beliau yang tidak seiring dengan pandangan ulamak tersohor Dr Yusuf Qardawi serta pegangan PKR dan PAS yang berlandaskan Al Quran dan Hadis mencetus pergeseran yang meruncing antara beliau dengan pimpinan Pakatan Rakyat. Malah beliau secara terang-terangan senada dengan pimpinan Umno.

Dan akhirnya beliau dipecat dari PKR krana melanggar undang-undang parti serta mengkritik secara terbuka keseluruhan pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat. Kelantangan mengkritik tanpa melalui saluran yang dibenarkan seterusnya menjadi duri dalam daging kepada kestabilan Pakatan Rakyat. Secara amnya, YB Zul bertindak seperti agen Umno/BN bergerak mencemar keperibadian saf kepimpinan Pakatan Rakyat tanpa ciri-ciri jemaah yang sepatutnya didokongi beliau.

Apa sebenarnya yang dicari YB Zul ? Sudahlah ditendang keluar dari PKR, malah keluarnya beliau dari PKR diikuti dengan kritikan-kritikan beliau keatas kepimpinan PKR malah berkait pula dengan pimpinan-pimpinan PAS. Kesombongan beliau terserlah apabila mendabik dada akan bergerak secara bebas sambil menempelak dahulunya rakan-rakan beliau dalam PKR dengan menggelar mereka pencacai-pencacai DAP ataupun 'firaun kecil' dan terbaru menggelar beberapa pimpinan PAS dengan panggilan 'badut hingusan'.

Apa yang beliau lupa adalah kemenangan beliau sebenarnya dibantu parti PKR dan PAS yang bertungkus lumus bekerja berkorban masa , tenaga dan wang ringgit untuk memastikan kemenangan beliau di Kulim Bandar Baru. Pengkhianatan beliau kepada penyokong - penyokong Pakatan Rakyat tidak harus dilupakan begitu sahaja.

YB Zul kini menjadi wakil rakyat bebas yang dibenci rakyat seangkatan dengan beberapa pimpinan PKR sebelum ini seperti YB Zahrain , YB Osman Jailu dan Fairus , mantan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang. Dan sekonyong-konyong pula Umno yang kemaruk 2/3 kerusi Parlimen sanggup menerima YB Zul menganggotai Umno. Mungkin ini yang dinanti-nanti beliau .. karpet merah untuk menjadi ahli Umno.....

No comments: