Hari berkempen menghampiri penghujungnya hari ini di Hulu Selangor..Pakatan Rakyat dan BN semakin merancakkan kempen masing-masing menjelang detik 12 tengah malam ini. Sepanjang 8 hari tempoh berkempen, jentera pilihanraya masing-masing bertungkus lumus bekerja siang malam untuk memastikan rakyat berpihak kepada calon masing-masing. Kerja sukarela yang dilakukan pekerja-pekerja Pakatan Rakyat baik dari PKR, DAP malah PAS turut sama berganding bahu menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk membawa Datuk Zaid Ibrahim kembali ke Parlimen Malaysia minggu hadapan.
Harapan rakyat ingin terus melihat keadilan dijunjung tinggi mungkin bermula di Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Kempen BN memburuk-burukkan Datuk Zaid Ibrahim melalui pelbagai saluran media termasuklah mengaitkan beliau dengan isu arak dan judi menjadi agenda utama. Namun, rakyat dirasakan tidak termakan dengan strategi tersebut kerana rata-rata berpendapat pemimpin BN jauh lebih buruk akhlak mereka. Bandingkan , Presiden MCA yang jelas mengaku dalam skandal seks beliau juga dapat diterima masyarakat Cina MCA.
BN melalui jentera kerajaan menabur janji bernilai jutaan ringgit sepanjang 8 hari berkempen. Hulu Selangor dijanjikan Sekolah Kebangsaan Cina dan Tamil yang baru , masyarakat Felda pula dijanjikan dengan pelbagai lagi bentuk peruntukkan untuk menambahbaikkan lagi infranstruktur Felda masing-masing. Masyarakat orang Asli juga dijanjikan kehidupan yang lebih terbela dan selesa berbanding 50 tahun yang lalu. Semua ini dijanjikan BN untuk meraih undi rakyat Hulu Selangor yang jelas semakin memihak kepada Pakatan Rakyat.
Isu penyelewengan kuasa dan wang ringgit malah isu Apco menjadi agenda utama Pakatan Rakyat untuk menangkis serangan BN yang bertali arus. Jentera Pakatan Rakyat bergabung menjelaskan isu demi isu secara langsung melalui ceramah dan kempen rumah kerumah kerana tiada ruang sebebas BN dalam media arus perdana.
Malah SPR yang seharusnya telus pula bertindak seakan salah satu daripada komponen parti BN dengan memindahkan beribu-ribu daftar pemilih menjadikan Pilihanraya Kecil Hulu Selangor yang terkotor setakat ini. Apapun yang terjadi pada esok hari di Hulu Selangor, rakyat sebenarnya sudah boleh menilai dengan akal fikiran mereka sendiri antara keadilan yang ditawarkan Pakatan Rakyat berbanding dengan penyelewengan yang menjadi teras Kerajaan BN selama ini.
Yang pastinya, amatlah malang pada seluruh rakyat Malaysia jika pengundi-pengundi Hulu Selangor gagal menjadikan peluang untuk melenyapkan pengaruh BN di Malaysia jika terus menerus mengundi BN esok. Peluang melihat demokrasi berkembang di Malaysia akan terus menjadi igauan jika BN melalui SPR terus menerus memperkosa segala bentuk undang-undang sedia ada melalui kuasa yang ada pada mereka.
Pun begitu, kepada seluruh pengundi di Hulu Selangor bertindak bijaklah dalam menentukan hala tuju keadilan yang sekian lama ditagih rakyat. Fikirkan masa depan generasi yang akan datang jika kita terus memperjudikan nasib mereka kepada tangan-tangan kotor untuk beberapa tahun lagi. Cukuplah 50 tahun , rakyat ditindas dan ditidakkan hak kita selama ini.
No comments:
Post a Comment