Friday, February 12, 2010

Alaihai Zahrain...



Saya beberapa kali berpeluang mengikuti ceramah politik Datuk Zahrain sebelum ini dan boleh disimpulkan sebagai seorang ahli politik yang akan terus meletakkan kepentingan perjuangan PKR melebihi kepentingan peribadi. Namun, politik penuh dengan ketidakpastian. Hari ini mungkin PKR , esok mungkin bebas dan lusa mungkin Umno.

Datuk Zahrain hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan seterusnya meletakkan segala jawatan beliau dalam PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas seangkatan dengan Raja Katak Datuk Ibrahim Ali. Datuk Zahrain seperti juga Datuk Ibrahim Ali yang mulanya berikrar menjadi ahli Parlimen bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti berakhir dengan lebih senada dengan Umno dan bertindak menghentam Pakatan Rakyat terutamanya Pas disegenap penjuru. Dan tidak musthil jugalah, Datuk Zahrain akan bertindak sedemikian rupa kerana beliau memerlukan payung pelindung untuk survival politik beliau di Pulau Pinang.

Alasan untuk beliau keluar PKR ternyata kerana kekecewaan beliau kepada DAP dan juga pemimpin atasan PKR amatlah mengejutkan memandangkan pendirian beliau sebelum ini yang begitu jitu dan bersemangat menetang penyelewengan Umno/BN dalam Pakatan. Kemelut Datuk Zahrain mungkin bermula dengan perlucutan jawatan beliau sebagai Ketua Perhubungan Negeri PKR beberapa bulan lalu.

Pakatan Rakyat terutamanya PKR sekarang ini dilihat berada dalam keadaan terumbang ambing dengan kemelut kepimpinan yang dicetus oleh mereka sendiri. Diharap segala kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya kepercayaan rakyat tidak terhakis dan memberi impak yang buruk kepada Pakatan Rakyat. PRU 13 semakin hampir dan Pakatan Rakyat seharusnya lebih menumpukan segala jentera yang ada untuk menghadapi pilihanraya dan bukannya terpaksa menangkis dan menyelesaikan kemelut politik dalaman parti masing-masing.

No comments: