Sunday, January 24, 2010

Gejala Seks Bebas ... Kerajaan Dok Nganga Lagi !


Amalan seks bebas melanda seluruh dunia dan semakin menjadi gejala yang amat membimbangkan. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun. Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah. Akibat daripada pergaulan bebas, kemudahan tempat untuk berpeleseran yang semakin hari semakin banyak serta kecetekan ilmu agama, bilangan remaja-remaja yang terjerumus kedalam gejala ini semakin hari semakin meningkat. Hasil yang amat ketara dari pergaulan bebas ini adalah amalan bertukar-tukar pasangan seks dan pembuangan bayi.

Gejala sumbang mahram juga merupakan satu lagi fenomena yang meruntun masyarakat mutakhir ini. Statistik Majlis Agama Johor untuk tahun 2004 sahaja, hampir 907 kes sumbang mahram dilaporkan kepada pihak Majlis Agama Johor. Dan tidak mustahil juga ditempat - tempat yang lain juga menghadapi gejala yang sama.

Jenis Pertalian Sumbang Mahram
Bapa 401 kes
Bapa Saudara 231 kes
Abang Kandung 90 kes
Adik Kandung 5 kes
Datuk 35 kes
Datuk Saudara 19 kes
Saudara 44 kes
Sepupu 82 kes

Sumber : Majlis Agama Johor 2004

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.
(Surah al-Israa’:32)

Gejala ini samaada seks bebas ataupun sumbang mahram seharusnya diambil serius oleh pihak kerajaan dan pendekatan yang hakiki hanyalah melalui kesedaran ilmu agama Islam dan juga perlaksanaan undang-undang Islam. Dan kerajaan seharusnya melalui agensi-agensi agama menilai dengan lebih teliti langkah seterusnya dan bukannya melalui pendekatan yang luar daripada cara Islam.

Kerajaan BN nampaknya lebih menumpukan agenda - agenda yang menguntungkan mereka dan juga agenda untuk survival politik masing-masing sahaja. Program terbaru..'Umno Juara Rakyat' merupakan satu lagi gimik politik untuk menunjukkan keperihatinan Umno membantu rakyat padahal, dana yang digunakan adalah hak rakyat.

Tiada satu pun tumpuan dan penekanan diberikan kepada pembentukan keperibadian muslim yang dianjurkan kerajaan untuk menangani permasaalahan ini secara terperinci. Dan dari sehari ke sehari , rakyat terus dibelenggu gejala seks bebas dan pembuangan bayi yang serius.

Kita amat berharap agar agensi - agensi kerajaan negeri seperti Majlis Agama Islam negeri memberi tumpuan secara khusus untuk mendekati remaja-remaja Islam bagi menyedarkan mereka perihal kepentingan menjauhi gejala tidak sihat ini. Sudah tiba masanya kerajaan - kerajaan negeri Pakatan Rakyat menjadi pendahulu dengan memperuntukkan masa dan tenaga yang mencukupi untuk meneliti permasaalahan ini agar seluruh kita tidak dilaknat Allah kerana gagal membendung gejala maksiat ini. 'Amar Makruf Nahi Mungkar' seharusnya menjadi agenda utama bagi Ahli-Ahli Majlis Agama yang baru dilantik bersama - sama Ajk-Ajk masjid disetiap daerah melakukan sesuatu yang tidak mampu direalisasikan oleh kepimpinan Umno dahulu. Jadikan setiap daerah di Pulau Pinang ini jauh daripada gejala maksiat dengan memperbanyakkan program-program yang berbentuk pendidikan dan pencegahan kepada golongan sasar iaitu remaja-remaja Islam.

Wallahualam.........

No comments: