Thursday, November 26, 2009
1Malaysia Cakap Tak Serupa Bikin
Ungkapan 1Malaysia.."Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' ..semakin hari semakin menjadi satu ungkapan yang berunsur lawak jenaka. Episod orang no 2 negara Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meneliti semasak-masaknya sebelum bersetuju mengetuai kaukus petroleum yang ingin dibentuk oleh Pakatan Rakyat bagi menuntut bayaran royalti hasil minyak di Kelantan membuktikan segala-galanya rupa BN yang sebenarnya.
Kata Muhyiddin..."Eloklah Tengku Razaleigh teliti semasak-masaknya walaupun ia melibatkan negeri Kelantan tetapi ini ditaja oleh pihak parti pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang nak mengusahakannya". Inilah mentaliti sebenar pemimpin-pemimpin Umno/BN selama ini. Mereka lebih mengutamakan prinsip kepartian daripada menilai dan menyempurnakan niat untuk membantu rakyat Kelantan yang selama ini ditindas sedemikian rupa oleh Umno/BN.
Umno/BN kini semakin terdesak untuk menggunakan segala pendekatan yang ada untuk memaksa rakyat Kelantan menyokong mereka hinggakan sanggup menukarkan 'royalti' kepada 'wang ehsan'. Ini kerana dengan pendekatan wang ehsan yang disalurkan melalui ejen-ejen Umno/BN di Kelantan, mereka dengan rakusnya akan dapat mengawal segala sumber kewangan yang ada untuk mengumpan rakyat Kelantan dengan wang ringgit. Jika Umno/BN benar-benar ikhlas untuk membantu rakyat dengan hasil bumi negeri itu sendiri, Umno/BN akan terus menyalurkan wang rakyat terus kepada kerajaan negeri tanpa memikirkan latar belakang politik. Jelas sekali , Umno/BN takut akan bayang-bayang mereka sendiri dan akan terus berusaha memastikan segala sumber rakyat dipergunakan oleh mereka untuk kepentingan politik mereka. Jika rakyat benar-benar didahulukan, seseorang pemimpin itu akan tidak teragak-agak untuk menyerahkan hak rakyat kepada mereka terus untuk kebaikkan bersama.
Umno/BN semakin hari semakin gah dengan sumber kewangan yang mereka anggap sebagai hak mereka sendiri dan menggunakan segala kuasa yang mereka ada untuk mengaut keuntungan untuk pemimpin mereka sendiri dan secara terang-terangan menidakkan hak rakyat. Dengan adanya 'wang ehsan' kemungkinan besar rakyat tidak akan dapat menikmati hasilnya kerana dikaut oleh pemimpin-pemimpin tempatan Umno/BN. Besar kemungkinan segala projek Kerajaan Persekutuan akan disalurkan dan dibahagikan sesama mereka sahaja.
Lihat sahaja kepada negeri Terengganu, walaupun merupakan negeri pengeluar minyak, rakyat Terengganu merupakan rakyat yang kedua termiskin di Malaysia selepas Sabah. Ini adalah kerana segala penyalahgunaan dana 'wang ehsan' oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN selama ini. Projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat ditabur tanpa henti demi memperkayakan juak-juak mereka hinggakan ada yang langsung tidak memberi apa-apa menafaat kepada rakyat langsung. Dan ada juga terus menerus menyusahkan rakyat kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih daripada apa yang dibajetkan hasil penyelewengan pemimpin-pemimpin Umno/BN ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment