Tuesday, November 10, 2009

Ahli - Ahli Pas ... Meniti Kematangan



Umum melihat sebahagian daripada ahli-ahli Pas merasa tersinggung dengan kritikan pedas oleh Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini. Tidak kurang juga menempelak Dr Aziz tanpa segan dan silu semasa seminar Pas berlangsung pada Sabtu lalu mahupun didalam blog masing-masing. Setiap mereka ini mempunyai pelbagai persepsi dan menterjemahkan segala kritikan yang dilontarkan dalam bentuk dan nada yang berbeza-beza. Penerimaan terhadap kritikan dan pandangan Dr Aziz oleh segelintir pemimpin Pas dan ahli-ahli Pas juga berbeza-beza antara satu sama lain. Persoalan yang timbul sekarang ini adalah langkah yang seharusnya diambil oleh ahli-ahli Pas sekarang.

Adakah ahli-ahli Pas harus meratapi kritikan-kritikan Dr Aziz semahu-mahunya ? Wajarkah ahli-ahli Pas hendak memberontak, menyerang Dr Aziz ? Atau wajarkah ahli-ahli Pas hanya duduk berdiam diri tanpa mengambil apa-apa iktibar dari kritikan tersebut?

Ahli Pas seharusnya lebih bersikap terbuka akan kritikan-kritikan sedemikian selagi mana ianya tidak menyentuh keperibadian mana-mana pemimpin. Tidak perlulah kita melatah hanya kerana pandangan seseorang melalui pengamatan beliau dalam senario politik sekarang ini. Persepsi beliau mengenai kepimpinan sekarang haruslah dinilai secara positif supaya tindakan - tindakan susulan dilakukan. Malah, jadikanlah ktitikan-kritikan ini sebagai cetusan rasa dan pandangan masyarakat secara amnya yang inginkan Pas menjadi sebuah parti yang dominan dalan Pakatan Rakyat.

Apapun kematangan ahli-ahli Pas dalam berpolitik mestilah diseimbangi dengan matlamat perjuangan Pas yang sebenarnya. Ahli-ahli Pas semestinya membuat penilaian sendiri apakah perlu ada perubahan dalam kepimpinan Pas sekarang, ataupun perlu ada sedikit sebanyak perubahan didalam corak dan cara kepimpinan sekarang. Ataupun pemimpin - pemimpin Pas sendiri mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu yang drastik dan berhemah didalam waktu yang terdekat ini. Didalam keadaan ini , kejayaan peribadi haruslah diletak ditahap yang kedua selepas keutuhan Parti.

Pas merupakan sebuah parti politik yang menjadi ikutan ramai cerdik pandai. Setiap langkah dan tutur kata Presiden akan menjadi sesuatu yang dinilai oleh segenap lapisan masyarakat. Kritikan dan pandangan walupun pedas haruslah diterima dengan penuh keinsafan. Selalunya kita memerlukan orang ketiga menegur dan membantu menyedarkan kesilapan kita. Setiap orang ada kelemahan masing-masing dan mungkin juga kita sebagai pemimpin tersalah arah. Jadi, kritikan yang perit mahupun yang bersifat sensitif selagi tidak menyerang peribadi mana-mana pemimpin haruslah dijadikan pengajaran untuk kita. Memang bukannya semua kritikan mahupun pandangan boleh diterima bulat-bulat tanpa diselidiki kesahihannya, namun dimasa keadaan politik semasa, Persepsi Boleh Menjadi Informasi.

Renung-renungkan.....

No comments: