Saturday, November 7, 2009

PAS Dan Seminar Politik


Hari Sabtu ini akan berlangsungnya satu seminar hasil dari mesyuarat khas Pas baru-baru ini bagi menentukan hala tuju Pas bersama Pakatan Rakyat. Mungkin ianya akan menjadi medan yang panas lebih-lebih lagi selepas kembalinya isu Unity Government (UG) disamping isu-isu panas Pas Selangor.

Apa yang diharap seminar ini dapat berjalan didalam suasana yang mahabbah seperti selalu dan masih berpegang kepada norma-norma kesopanan dan tata susila. Kritikan-kritikan terbaru dari Professor Dr Abdul Aziz Bahari amatlah pedas dan seakan mengejek-ngejek kepimpinan Pas yang ada sekarang lebih-lebih lagi setelah kembalinya isu UG dan juga isu kekalahan Pas di Bagan Pinang.

Namun apa yang harus diketengahkan sekarang ialah bagaimanakah cara Pas hendak menangani pelbagai permasaalahan didalam jemaah itu sendiri. Umum melihat Pas selama ini amat bersih dari segala gejala - gejala yang tidak sihat seperti politik menikam sesama sendiri. Tapi , sejak akhir-akhir ini Pas seakan berpecah kepada dua puak yang berbeza fahaman dan hala tuju. Kalau dulu jarang kita dengar perbezaan pendapat diketengahkan hingga ke media-media seakan perselisihan besar terjadi sesama pemimpin Pas. Jarang juga kita dengar ada kritikan yang tajam dan pedas dari cerdik pandai mahupun orang luar dari Pas yang dituju kearah pemimpin Pas seperti sekarang ini.

Mungkin segala kritikan-kritikan ini ada hikmahnya agar pemimpin Pas membuka mata mereka seluas-luasnya dan memperbaiki apa-apa yang kurang bagi mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU 13 nanti. Apa yang perlu sekarang ini adalah satu solidariti dari keseluruhan pemimpin Pas tak kira samaada diperingkat pusat mahupun diperingkat kawasan dan cawangan. Dasar penubuhan Pas hendaklah dipegang teguh agar landasan yang ada untuk menegakkan Islam di Malaysia tidak dilencongkan kearah lain.

Ahli-ahli Pas akar umbi ingin sekali melihat pemimpin-pemimpin Pas duduk semeja menyelesaikan pelbagai isu yang berbangkit tanpa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sesekali mambuatkan ahli - ahli Pas gelisah. Memang perselisihan pendapat itu satu hikmah, namun dalam keadaan Umno/BN yang terdesak sekarang ini, setiap inci perbalahan akan ditiup api-api kebencian oleh media mereka. Perlu dingatkan bahawa bukan semua ahli-ahli Pas mempunyai akses kepada media-media yang benar dan telus melainkan media-media Umno/BN yang sehari-hari mengeksploitasi dan mengambil kesempatan keatas komen-komen pemimpin-pemimpin Pas.

Diharap seminar ini dapat menyelesaikan segala permasaalahan yang timbul mutakhir ini dan Pas akan berdiri lebih teguh dan dilihat sebagai sebuah Parti yang memimpin didalam Pakatan Rakyat.

InsyaAllah.

No comments: