Wednesday, November 18, 2009

Kerdilnya Kita....



Semalam sewaktu berlangsungnya usrah dwi bulanan, kami sekelian ahli usrah berkesempatan mendengar perihal kisah hidup anak angkat Masjid Bertam Indah, saudara Shankar a/l Menon ataupun Shazwan bin Abdullah tertarik memilih untuk memeluk Islam.

Terasa diri ini cukup kerdil dan cukup bertuah kerana terpilih dilahirkan dari perut seorang ibu yang Islam..Terasa diri ini bernasib baik kerana tidak mengharungi kepayahan seperti Shazwan...Bertuah kerana dikelilingi keluarga yang faham akan tuntutan agama. Sedangkan hari-hari yang dilalui oleh Shazwan yang baru berumur 21 tahun teramat berbeza dibandingkan dengan kita. Terasa bebanan yang dipikul oleh Shazwan mungkin tak tertanggung oleh kita yang dah lama Islam ini.

Bayangkanlah keadaan yang harus dilalui Shazwan seharian untuk menegakkan agama Allah yang baru 3 tahun dikenalinya. Rintangan dan kepayahan Shazwan seharian membentuk keperibadian Muslim disamping tekanan yang datang dari segenap penjuru.

Mengimbas akan kisah Shazwan, pada mulanya beliau tertarik dengan Islam bukannya dari segi konsep ketuhanan. Baginya sebelum ini, Islam dan Hindu sama kerana mempunyai satu Tuhan untuk disembah ataupun ikon untuk diangkat sebagai 'divine power'. Baginya, Muhammad saw juga salah satu Tuhan dalam Islam sama seperti agama Hindu yang mempunyai banyak dewa-dewa untuk disembah. Sebaliknya, beliau tertarik dengan Islam disebabkan oleh kebaikkan yang dianjurkan dalam Islam. Konsep berbuat baik sesama makhluk , konsep bersembahyang secara berjemaah , berdoa setiap kali untuk membuat sesuatu pekerjaan dan juga menitik beratkan keutuhan kejiranan yang menarik beliau untuk terus mengenali Islam secara mendalam. Lantas, beliau berjinak dengan Islam secara diam-diam dan mula mengenali Islam dengan lebih mendalam setelah bertemu dengan Ustaz Kamaruddin. Bermulalah perjalanan hidup dia sebagai seorang Muslim setelah mengucap Dua Kalimah Syahadah pada 24 November 2006 yang lalu.



Kerdilnya kita...kerana kita tidak sedikit pun mengambil bahagian secara aktif untuk membantu ramai lagi orang bukan Islam untuk mengenali Islam. Kerdilnya kita...kerana kita masih lagi leka dengan dunia Islam kita sendiri tanpa ingin membantu mereka yang tidak sebertuah seperti kita. Kerdilnya kita...kerana kita masih lagi sombong dan bongkak dengan agama Islam kita tanpa ingin memperkenalkannya kepada orang bukan Islam yang lain.

Wallahualam....

No comments: