Sunday, November 8, 2009

Pas .....Meniti Langkah Seterusnya....


Serius..Mursyidul Am dengan Presiden

Seminar Politik Pas semalam Sabtu 7 November berlalu dengan pelbagai persoalan yang timbul lebih-lebih lagi mengenai kepimpinan TGHH sebagai Presiden Pas sekarang dan juga hala tuju Pas selanjutnya. Samaada Pas ingin mengambil pandangan cerdik pandai dari kalangan panel seminar iaitu Prof Dr Abdul Aziz Bari mahupun dari Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah, terletak ditangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri.

Prof Dr Abdul Aziz Bari yang sebelum ini mengkritik kepimpinan TGHH masih tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa kepimpinan yang ada sekarang haruslah ditukar bagi menghadapi PRU 13 yang akan datang. Hasil kajian Prof Madya Dr Abu Hassan juga seakan mengiringi dan selari dengan pandangan tersebut.

Kita sebagai pendokong mahupun penyokong Pas hendaklah bersikap terbuka akan pandangan-pandangan yang sedemikian. Kita tidaklah pakar didalam menganalisa mahupun menterjemah hasil kajian soal selidik yang dilakukan oleh kedua-dua Professor terbabit, namun, kita juga tidak harus menolaknya mentah-mentah. Senario politik sekarang lebih dinamik berbanding dahulu, rakyat sekarang lebih terdedah dengan media-media 'alternatif' dan ada yang 'berinternet' sepanjang masa yang terluang. Keterbukaan mereka menilai pandangan-pandangan cerdik pandai ini dapat mempengaruhi kepercayaan mereka mahupun kesetiaan mereka kepada pemimpin yang ada sekarang.

Justeru itu, kepimpinan Pas sekarang ini haruslah mempersiapkan diri mereka mengambil kira pandangan-pandangan dari kedua-dua penganalisa politik tersebut. Jika kepimpinan Pas tidak memandang serius akan pandangan kedua-dua mereka itu, Pas mungkin tidak dapat mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan PRU 12 yang lalu. Golongan muda yang berjumlah hampir 7 juta yang akan menjadi pengundi bagi PRU 13 nanti mungkin akan menjadi penentu kepada senario politik Malaysia. Jadi, pandangan dan sisipan pendapat dari golongan muda ini harus diambil perhatian sewajarnya oleh kepimpinan Pas yang ada sekarang. Jika golongan muda ini yang mempunyai akses secara terus kepada media-media alternatif, sependapat dengan kedua-dua professor ini, kepimpinan Pas perlulah mengorak langkah bagi memperbaiki keadaan sekarang sbelum terlambat.

Apakah perlu Pas menukar kepimpinan yang ada sekarang? Ini satu persoalan yang cukup rumit untuk diterjemahkan, apa lagi jika mahu dikupas. TGHH memimpin Pas semasa PRU 12 dan sedikit sebanyak berjaya membawa Pas kepada keadaan sekarang dimana penerimaan rakyat kepada Pas semakin meningkat. Namun pasca PRU 12 lebih 'demanding' dan memerlukan lebih banyak pengorbanan dari seluruh jentera Pas daripada pemimpin atasan hinggalah keakar umbi. Rakyat sedang menilai kepimpinan yang ada sekarang, dan rakyat pelbagai bangsa menjadi faktor yang penting samaada untuk terus menyokong kepimpinan ynag ada sekarang ataupun menolak mereka melalui PRU 13 nanti. Jika rakyat mengambil kira keadaan politik semasa dan keadaan Pas yang berada didalam keadaan tertekan dengan isu 'Unity Government' dan juga isu-isu kepimpinan yang lain, Pas mungkin terpaksa menerima hakikat yang pahit nanti. Walaupun telah disangkal oleh TGHH dan Timbalan Presiden Ustaz Nasaruddin Mat Isa, rakyat seakan tidak merasa puas dengan penafian kedua-dua pemimpin tersebut. Lebih-lebih lagi setelah ianya timbul kembali mutakhir ini. Ditambah pula dengan pelbagai isu kepimpinan peringkat negeri sesama Pakatan Rakyat seperti di Selangor telah menimbulkan keresahan pendokong-pendokong Pas malah sedikit sebanyak merisaukan ahli-ahli Pas sendiri. Diharap kepimpinan yang ada sekarang mengambil kira segala permasaalahan yang timbul sekarang dan bergerak menyelesaikannya dengan cepat dan berhemah.

Selain itu, peranan blogger-blogger juga tidak harus diketepikan begitu sahaja. Pas seharusnya mengiktiraf peranan blogger-blogger mempromosikan pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini. Pandangan dan kritikan mereka tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja tanpa dianalisa sepenuhnya. Memang tidak dinafikan ada blogger yang sengaja mengambil kesempatan menghentam apa sahaja yang dilakukan pemimpin-pemimpin Pas, tetapi tidak kurang juga yang berjaya membuka mata rakyat untuk menyokong Pas dan perjuangan Pas sejak akhir-akhir ini. Kemunculan pengkritik-pengkritik bebas ini bukan hanya bertujuan untuk menggagalkan Pas tetapi ada juga berperanan menjadi penyampai berita-berita yang benar menyaingi berita-berita palsu media kerajaan.

Mengenai kerjasama didalam Pakatan Rakyat , hala tuju Pas dalam Pakatan Rakyat hendaklah jelas dan Pas seharusnya berusaha keras untuk menjadi peneraju kepada kepimpinan Pakatan Rakyat. Diharap dengan jaminan sekali lagi oleh TGHH mengenai kerjasama erat Pas dengan PKR dan DAP, rakyat akan terus mendokong perjuangan Pakatan Rakyat. Memperkasakan kerjasama antara parti didalam Pakatan Rakyat adalah perlu selagi ianya tidak menghalang dan bercanggah dengan matlamat perjuangan Pas untuk memertabatkan Islam di Malaysia ini.

No comments: