Monday, November 23, 2009

Dialog bersama YB Ustaz Nasa


Kelmarin 22 November 2009, bertempat di Markas Pas Padang Menora dianjurkan satu sesi taklimat isu semasa dan dialog tertutup antara ahli-ahli Pas Pulau Pinang bersama pemimpin No 2 Pas , YB Ustaz Nasarudin Mat Isa. Hampir 200 orang memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan penganjur, Anjuran Lajnah Penerangan Negeri. Namun, ahli-ahli Pas yang sudah menunggu sejak pukul 9:30 pagi lagi tidak berganjak dari tempat tersebut kerana ingin mendengar taklimat yang dirasakan penting bagi Parti Pas sejak isu-isu panas yang melanda parti Pas mutakhir ini. Bermula agak lewat sedikit kerana jambatan Pulau Pinang hanya dibuka selepas jam 10 pagi selesainya acara larian Jambatan Pulau Pinang. Pun begitu majlis yang dimulakan sekitar Jam 11:30 pagi dimulakan dengan ucapan aluan oleh TPJ Negeri Tuan Lawyer Rosidi Hussain yang menyentuh berkenaan persepsi yang 'menghantui' parti Pas mutakhir ini. Berkisar dengan serangan media dan blogger keatas Pas serta persepsi masyarakat yang berlandaskan hanya kepada 'cakap-cakap' atau 'hearsay' diulas dengan terperinci oleh TPJ.

YB Ustaz Nasa pula memberi penekanan yang lebih kepada isu memperkasakan Parti Pas dan juga kesinambungan dari itu iaitu memperkasakan Pakatan Rakyat. Sekali lagi Pas melalui orang no 2 pemimpin atasan memberi komitmen yang cukup tinggi untuk bersama didalam Pakatan Rakyat selagi ianya berkisar kepada permasaalahan umum tanpa mempertaruhkan perjuangan Pas yang asal iaitu memertabatkan dan menegakkan hukum Islam di Malaysia. Penekanan yang dibuat oleh TGHH semasa seminar Pas baru-baru ini diperhalusi oleh Ustaz Nasa supaya akar umbi sedar akan kedudukan Pas bersama Pakatan Rakyat. Telahan akar umbi bahawa Pas akan terus bersama Pakatan Rakyat tanpa memperjudikan walau sedikit pun matlamat perjuangan dan penubuhan Parti Pas adalah tepat setelah diperjelaskan oleh Ustaz Nasa.

Sehubungan dengan seminar Pas baru-baru ini, Pas Pusat telah mengambil ketetapan supaya saranan dan hasil kajian oleh cerdik pandai politik iaitu Prof Aziz Bari dan Prof Abu Hassan diperhalusi dan dianalisa secara lebih komprehensif. Hasil kajian dan pandangan kedua-dua professor tersebut akan diambil kira dan keputusan tetap akan dibuat oleh Pas sendiri bukannya hasil cakap-cakap atau 'hearsay' sahaja. Lanjutan dari itu Pas Pusat akan memanggil semula kedua-dua Professor tersebut untuk bermuzakarah dan memperhalusi hasil kajian mereka untuk memantapkan lagi parti Pas.

Selanjutnya, Ustaz Nasa memperjelaskan isu mengenai keperluan memperkasakan tarbiyah melalui usrah yang semakin dipinggirkan oleh kebanyakkan ahli-ahli Pas. Usrah yang selama ini menjadi nadi akan keutuhan dan ukhuwwah sesama ahli menjadi semakin tidak dipraktikkan oleh sebahagian besar ahli diperingkat cawangan dan kawasan. Kepentingan untuk memperkemaskan saf pimpinan diperingkat kawasan mahupun cawangan melalui usrah haruslah diberi perhatian yang sewajarnya untuk meningkatkan kerjasama antara ahli-ahli Pas.

Menyentuh perihal PRU 13 nanti, kepimpinan Pas dan Pakatan Rakyat berpendapat , PRU 13 nanti akan lebih mencabar kerana Pakatan Rakyat akan berada di bahagian serangan. Tambahan pula, isu-isu remeh yang diciptakan sediri oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyta akan memberi kelebihan kepada BN. Disamping itu, sudah jelas BN tidak akan menyerah kalah begitu sahaja dan besar kemungkinan segala bentuk provokasi dan juga helah akan diguna pakai oleh mereka untuk memastikan kuasa terus berada ditangan mereka.

Dialog diteruskan dengan soalan-soalan yang diajukan oleh peserta - peserta yang lebih tertumpu kepada isu-isu panas antaranya seperti isu Ba'iah , isu perbezaan pendapat antara TGNA dengan Ustaz Nasa, isu perletakkan jawatan YB Husam Musa , dan juga isu keberkesanan Pas dalam menerajui Pakatan Rakyat. Malahan sesi menjadi lebih panas setelah ada peserta yang mempertikaikan secara terbuka pembentangan dan taklimat yang diberikan oleh Ustaz Nasa sebelum ini. Semua persoalan yang dibangkitkan telah dijawab oleh Ustaz Nasa dengan tenang.

Pun begitu pada pendapat saya, jawapan kepada persoalan yang timbul dan penjelasan oleh Ustaz Nasa tidak begitu komprehensif dan terlalu umum bagi peserta untuk menerimanya terutamanya soalan mengenai 'kemungkinan ujudnya kem sesama pimpinan Pas' mahupun persoalan mengenai 'gesaan perletakkan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden'. Ustaz Nasa seakan-akan 'reserve' akan ulasan beliau mengenai kedua-dua isu tersebut dan beliau mungkin mempunyai alasannya yang tersendiri pada setiap jawapan yang diberi dan kemungkinannya agar ianya tidak menjadi satu persepsi dan menimbulkan masaalah baru dikemudian hari.

Wallahualam...

No comments: