Monday, December 28, 2009

Ahli-Ahli Pendesak....



Tahun 2009 hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk melabuhkan tirainya dan akan digantikan dengan tahun 2010...Bagi kita, pertukaran tahun menandakan semakin hari semakin hampir kita kepada kematian, pertukaran tahun bermakna umur kita semakin lanjut dan masa kita semakin suntuk untuk kita melakukan amalan soleh. Pun begitu, perjuangan harus diteruskan , penentangan kita menentang kezaliman pemerintah sekarang ini harus diteruskan.

Namun, baru-baru ini bertempat di perkarangan PAS Selangor, sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat negeri ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya. Kumpulan ini yang hampir berjumlah 20 orang sahaja mengaku mereka merupakan ahli Pas Selangor dan bertindak mengikut kehendak semasa agar PAS menilai kembali kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat yang kononnya tidak memberi apa-apa faedah langsung kepada Pas.

Kumpulan yang mendesak ini berkemungkinan besar didalangi pihak-pihak tertentu (UMNO) memandangkan keadaan PAS Selangor yang sedikit bergolak baru-baru ini. Mereka yang cuba melaga-lagakan PAS dengan DAP dan PKR akan terus memainkan pelbagai isu yang diada-adakan untuk menunjukkan kerapuhan ikatan Pakatan Rakyat. Walhal, PAS melalui Presiden Parti telah menyatakan pendirian PAS untuk terus bekerjasama bersama PKR dan DAP berganding bahu menentang segala bentuk kezaliman yang didalangi UMNO/BN.

Tidak dapat dinafikan lagi sejak kebelakangan ini, UMNO telah cuba pelbagai cara untuk menjatuhkan ikatan tali perpaduan Pakatan Rakyat. Terdahulu, taktik yang hampir serupa juga didalangi UMNO berlaku di Shah Alam, kumpulan perarakan kepala lembu berkesudahan dengan pelbagai tohmahan dilemparkan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dan memandangkan PAS sebuah parti yang menjadi tunjang Pakatan Rakyat negeri, UMNO dengan sisa-sisa perjuangan mereka yang ada telah kembali cuba menjolok rakyat mendesak PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat. Apa yang cuba dibuat UMNO walaupun cuba dinafikan mereka telah dapat dihidu rakyat dari jauh lagi. Kelibat mereka yang bersam-sama berdemo tidak kelihatan langsung bercirikan ahli-ahli PAS, malah sepanduk yang mereka gunakan juga berbau perkauman dan lebih kepada ke'UMNO'an. Salah satu daripada sepanduk yang digunakan seperti 'SIAPA YANG AKAN MEMBELA NASIB MELAYU DAN ISLAM JIKA BUKAN ORANG MELAYU SENDIRI' lebih sinonim dengan UMNO.

UMNO mungkin berpendapat mereka akan berjaya dengan taktik kotor ini untuk mengheret rakyat kedalam perangkap mereka , namun rakyat bukannya dapat diperdaya dengan mudah. Rakyat semakin hari semakin sedar akan helah dan perancangan buruk oleh UMNO dan BN dan tidak mudah lagi untuk terpedaya dengan tohmahan mereka. Langkah UMNO ini mungkin juga bertujuan untuk cuba mengalih pandangan rakyat dari pelbagai isu yang melanda negara sekarang ini seperti kehilangan enjit jet F-5E , salah guna dana rakyat dan juga kemelut kepimpinan salah satu parti komponen BN iaitu MCA.

Mereka - mereka yang berdemo kelmarin lebih realistik jika dipanggil kumpulan yang 'TERDESAK'.

No comments: