Monday, December 21, 2009

Peperangan Bermula....


Berakhirnya konvensyen Pakatan Rakyat kali pertama baru-baru ini membuktikan satu kesepakatan yang jitu antara PAS , PKR dan DAP. Ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti menyatakan kesungguhan parti - parti mereka berarak kearah permuafakatan yang lebih tersusun sehingga ke peringkat akar umbi masing-masing. Tidak dapat tidak satu kesinambungan ideologi politik yang tersusun kearah menyatukan ahli masing-masing haruslah dipupuk antara ketiga-tiga parti pembangkang ini. Bagi Pas, gagasan Pakatan Rakyat diperlukan sebagai kenderaan menuju ke Putrajaya agar dasar Pas yang paling utama, menegakkan hukum Islam di Malaysia dapat direalisasikan.

Rakyat memandang tinggi agar Pakatan Rakyat dapat menjadi satu parti alternatif kepada BN. Secara keseluruhannya rakyat amat berharap supaya Pakatan Rakyat menjadi peneraju utama Malaysia di masa hadapan. Menilai dasar yang dipersetujui baru-baru, dasar tersebut sudah cukup untuk membawa Malaysia kearah negara yang maju dan lebih adil dalam pembahagian kemakmuran sesama rakyat tanpa mengira bangsa.

Justeru itu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat samaada yang berada diatas mahupun yang berada hampir dengan pengundi haruslah sentiasa bersiap sedia dari sekarang bagi menghadapi serangan BN yang dijangka akan mengerahkan segala jentera mereka untuk meruntuhkan benteng Pakatan Rakyat.Buat pertama kalinya, BN akan berhadapan dengan satu pakatan pembangkang yang jitu dan bersepadu. Lantas, BN tidak dapat tidak terpaksa melakukan apa saja demi menidakkan cita-cita Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Mana mungkin BN akan berdiam diri sahaja memandangkan PRU 13 semakin hari semakin hampir. Tambahan pula, PRU 13 PM Najib buat pertama kalinya akan menerajui BN pada pilihanraya umum, dan BN akan memastikan mereka menang dengan bergaya seperti selalunya. Sentimen perkauman akan terus dimainkan BN demi merealisasikan harapan BN untuk terus berkuasa di tanah air kita ini.

Pakatan Rakyat telah pun membuktikan kepada rakyat bahawa mereka juga boleh bersatu dan bergerak sebagai satu unit mulai sekarang. Dan alangkah baiknya segala apa yang diperkatakan tentang pentingnya pemimpin-pemimpin parti masing-masing untuk bersatu dapat direalisasikan dan diterjemahkan melalui tindakan susulan dan bukan hanya melalui kata-kata manis sahaja. Rakyat selama ini dimomokkan oleh BN betapa rapuhnya Pakatan Rakyat kerana mempunyai ideologi dan cita-cita politik yang berlainan. Namun dengan berlangsungnya konvokesyen yang berjaya menemukan titik pertemuan politik antara pakatan pembangkang, rakyat seharusnya membuka mata mereka dan membuat perubahan demi masa depan yang lebih cerah. Sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa Malaysia bukan hak mutlak BN sahaja.

19 Disember 2009 menjadi satu lembaran sejarah menyaksikan satu gagasan Pakatan Rakyat yang terbentuk mengorak langkah untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat Malaysia. Gendang peperangan telah pun dipalu dan untuk sekian kalinya rakyat akan menyaksikan satu pertembungan yang klasik dalam sejarah politik tanahair dimana BN akan bertemu buku dengan ruasnya iaitu barisan Pakatan Rakyat. Diharap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengotakan segala apa yang dilaungkan selama ini 'Keadilan Kepada Rakyat'.......

No comments: