Saturday, December 12, 2009

'BER BLOG' ? ... ATAU 'GOBLOG' ?

Media samada elektronik mahupun akhbar harian termasuk blog-blog yang semakin hari semakin bertambah menyerikan lagi senario politik Malaysia mutakhir ini. Pemimpin-pemimpin baik dari Pakatan Rakyat mahupun BN tidak akan mudah terlepas daripada dipantau oleh wartawan ataupun terkini .. bloggers. Kehadiran bloggers bersama kepelbagaian penyampaian menambahkan lagi sumber informasi dan melebarkan tahap kefahaman rakyat tentang sesuatu isu yang berbangkit.

Jika dulu rakyat bergantung penuh terhadap sumber berita iaitu surat khabar dan juga berita TV , namun sekarang ini rakyat mempunyai pilihan yang lebih terbuka dan mempunyai kebebasan untuk menilai sesuatu berita itu dengan lebih adil dan saksama. Pun begitu, mutakhir ini terdapat pelbagai blog yang dijana oleh individu-individu tertentu samada di sebelah BN mahu pun Pakatan Rakyat, malah ada individu yang tidak terlibat langsung dalam mana-mana parti politik menggunakan medium ini (blog) untuk menabur fitnah keatas mana-mana pemimpin yang tidak disukai. Justeru itu, rakyat seharusnya bijak memilih rangkain blog yang mana harus menjadi pilihan pembaca setiap hari. Harus kita ingat , sesuatu artikel mahupun berita akan mempunyai interpretasi yang jauh berbeza dari seseorang dan tidak mustahil interpretasi ini akan menjadi berita sensasi dan seterusnya menjadi fitnah zaman moden.

Secara umum, rakyat sekarang ini lebih mempercayai tulisan mahu pun berita yang disampaikan melalui blog-blog tertentu kerana ianya dianggap lebih telus dan lebih pantas berbanding dengan media cetak ataupun TV. Tetapi , nilaian rakyat keatas isu-isu tertentu yang mungkin dipengaruhi oleh olahan 'bloggers' akan memburukkan lagi sesuatu keadaan lebih-lebih lagi mengenai isu-isu sensitif melibatkan kefahaman keagamaan mahupun bangsa.

Acapkali kita disogok dengan kepelbagaian berita yang bersimpang siur dieksploitasikan oleh pihak - pihak tertentu tanpa menilai tahap ataupun nilai sensitiviti berita tersebut terhadap sesuatu bangsa mahupun agama. Jadi kita seharusnya lebih berwaspada dan lebih teliti dalam menilai sesuatu berita tersebut kerana dikhuatiri kita akan terlibat secara langsung menyebar fitnah tertentu tanpa kita sedari. Hujung pangkalnya, bijak menilai sesuatu berita itu penting agar keikhlasan dalam 'berblog' menjadi pegangan kita sepanjang masa.

Dan yang paling penting yang membaca ataupun yang menulis jangan jadi "Goblog " cukup....

No comments: