Tuesday, December 8, 2009
Melayu Pulau Pinang
Gambar Hiasan.....
Apabila kita menilai perkembangan terkini Melayu Pulau Pinang , majoriti daripada kita akan bersetuju bahawa Melayu di Pulau Pinang sudah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa - bangsa lain terutamanya bangsa Cina. Bukannya untuk bersikap 'kebangsaan' ataupun mempertahankan bangsa Melayu , namun hakikatnya setelah lebih 50 tahun BN memerintah Pulau Pinang, Melayu Pulau Pinang semakin terpinggir dari arus pembangunan yang pesat. Mungkin kesinambungan jajahan daripada Inggeris telah sedikit sebanyak mencorak gaya pemerintahan BN , namun sebahagian besarnya adalah dicorak oleh pemerintahan BN yang tidak mencerminkan keadilan yang saksama kepada rakyat.
Teringat waktu kecil dahulu, dimana seringkali kita dapat melihat perkampungan Melayu disetiap daerah di Pulau Pinang ini, namun mutakhir ini , perkampungan ini lenyap ditelan oleh pembangunan yang pesat dan mula dikuasai oleh bangsa lain kerana harga perumahan meningkat berlipat kali ganda sehingga menyebabkan Melayu di sempitkan hingga ke rumah-rumah jenis flat sahaja.
Kita tidak seharusnya menyalahkan bangsa lain atas masaalah yang kita hadapi sekarang ini. Janganlah kita menyempitkan minda kita dan mula mencurigai dan bangkit untuk mula mendesak kaum lain memberi ruang dan luang yang lebih kepada kita. Malah , janganlah kita mula menjadi seorang yang 'racist' dan mula ingin menunjukkan taring kita ataupun mula bersikap 'prejudice' keatas bangsa - bangsa lain. Sedarkah kita , selama ini , Umno dan parti komponen BN yang lain telah berkompromi sesama mereka untuk hanya menumpukan kroni-kroni atau juak-juak mereka sahaja hinggakan rakyat yang sepatutnya menerima bahagian mereka diketepikan begitu saja.
Selama 50 tahun , Umno ditampuk pemerintahan bersama parti Gerakan, namun tiada apa yang dapat dibanggakan yang dapat dipertontonkan kepada rakyat tentang kemajuan orang Melayu di Pulau Pinang. Sedih apabila melihat perkembangan dan kemajuan orang Melayu terus menerus hanya tertumpu kepada segelintir golongan tertentu sahaja. Amat sedih sekali jika kita membandingkan kejayaan bangsa lain dalam mengharungi pembangunan yang pesat di Pulau Pinang. Kalau dahulu, kita boleh berbangga dengan kampung-kampung Melayu, tetapi sekarang ini kampung-kampung ini jauh ketinggalan dari segi pembangunan hinggakan menjadi satu permandangan yang menyedihkan.
Lebih mendukacitakan, kampung-kampung Melayu ini seakan memberi gambaran yang buruk terhadap sesuatu kawasan tersebut dan hari demi hari mula terhakis dan luput begitu sahaja ditelan arus pembangunan. Sekarang ini , majoriti orang-orang Melayu hanya bertumpu di flat-flat kos sederhana mahupun rendah kerana mereka semakin tidak mampu untuk bersaing dengan bangsa lain. Dan semakin hari semakin jauh dari bahagian pulau dan mula bertindak keluar ke Seberang Perai mahupun Sungai Petani di Kedah kerana harga rumah yang lebih rendah.
Jika kita menyusuri lebuhraya pantai (Coastal Highway) , kita dapat melihat satu pembangunan perumahan yang pesat sedang giat berjalan, namun, tanyalah pada diri kita sendiri..'Adakah Kita Mampu Untuk Memiliki Rumah Di Kawasan Itu ?' Besar kemungkinan, jawapan 'tidak' adalah lebih tepat bagi kita kerana harga kediaman yang tinggi sekitar RM 700 ribu keatas. Namun, haruskah kita merasa ditindas, akibat ketidakmampuan kita? Mungkin bagi kroni-kroni Umno/BN mungkin boleh menarik nafas lega kerana mereka berkemampuan hasil daripada keuntungan projek-projek Kerajaan Persekutuan. Tapi bagi sebahagian besar orang Melayu yang lain di Pulau Pinang ini hanya boleh melihat dari jauh pandangan yang cantik ini kerana sedar akan kemampuan mereka tidak akan dapat menjangkauinya. Inilah hasil ataupun kemajuan bangsa Melayu yang paling besar setelah 50 tahun diperintah oleh Umno/BN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment