Saturday, December 12, 2009

Sumpah Minyak....


Salah seorang dari pengasas Petronas pada tahun 1974 yang lalu, Tengku Razaleigh Hamzah dengan hati yang terbuka meluahkan rasa kekesalannya yang amat sangat perihal Petronas dan hasilnya. Hinggakan beliau merasakan alangkah baiknya jika Malaysia tidak menemui minyak dahulu.

Petronas diawal penubuhannya bertujuan untuk menjana ekonomi negara yang dahulunya lebih kepada berasaskan komoditi rendah kepada ekonomi yang dipelbagaikan dan ujuran berpendapatan tinggi, telah sekian lama dibaham oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN. Matlamat yang sepatutnya jika diikuti dan diintegrasikan oleh pemimpin Umno/BN, rakyat Malaysia khasnya mungkin akan lebih selesa kerana infrastruktur dan keharmonian negara hasil dari keuntungan minyak Petronas digunakan sebaik mungkin dan seluruh rakyat negara ini menikmati hasilnya secara saksama.

Mungkin dikala ini kita menikmati minyak yang berharga bawah RM 1 seliter ataupun anak-anak kita belajar di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi dengan kos yang paling minima tanpa terpaksa berhutang. Jika hasil keuntungan Petronas yang berjumlah ratusan Billion Dollar Amerika ini dipegang oleh mereka yang beramanah, kemungkinan besar keadaan rakyat Malaysia seluruhannya lebih baik dari sekarang. Tidak mungkin akan ada rakyat yang begitu daif sehinggakan tidak dapat menikmati bekalan elektrik mahupun air sekarang. Dan tidak mustahil juga jika Singapura pula yang memandang tinggi hasil kejayaan Malaysia mentadbir negara dan menjana pertubuhan ekonomi kita. Mungkin juga pendapatan berkapita kita akan 3 kali ganda daripada Singapura sekarang ini.

Namun semuanya ini lebih retorik semata-mata. Hasil Petronas yang berjumlah ratusan Billion Dollar Amerika ini hangus begitu sahaja hasil dari ketidakcekapan mahu pun penyelewengan berterusan pemimpin Umno/BN. Hasilnya hanya tinggal dua menara yang tersergam indah di Kuala Lumpur ataupun litar lumba kereta yang langsung tidak memberi faedah terus kepada rakyat. Memang tidak dinafikan sebahagian wang hasil minyak ini diperuntukkan untuk belanjawan negara, namun hasil daripada kegagalan pemimpin Umno/BN mengurus dana tersebut sehingga kebanyakkannya bocor sepanjang tahun, terutamanya akibat penyelewengan , rakyat terus menerus dibebani dengan cukai samaada cukai pendapatan ataupun perkhidmatan.

Boleh dikatakan sebahagian besar hasil minyak negara ini diurus dengan tidak cekap oleh pimpinan Umno/BN hinggakan tirisan merata-rata terjadi dengan berleluasa. Mengkayakan kroni dan juga menyelamatkan mereka dari belenggu kesempitan ekonomi juga menjadi agenda utama hasil minyak negara. Malah untuk sekian lamanya rakyat dari segenap lapisan masyarakat seringkali ditipu kerajaan kononnya subsidi minyak yang dikeluarkan kerajaan memungkinkan rakyat menikmati harga yang rendah. Hakikatnya rakyat sepatutnya menerima ganjaran yang lebih memenafaatkan mereka jika hasil minyak negara diurus dengan cekap oleh pemimpin - pemimpin negara.

Jika Tengku Razaleigh yang mempunyai pengalaman dalam bidang ekonomi dan merupakan antara pengasas Petronas juga berpendapat terdapatnya penyelewengan hasil minyak, rakyat seharusnya menilai semula kepimpinan Umno/BN selama ini dan seharusnya menunjukkan jalan keluar kepada mereka pada PRU 13 nanti.

No comments: