Tahun 2010 semakin menghampiri kita...dan tahun 2009 yang akan ditinggalkan terpalit beberapa sejarah hitam bagi negara yang kita cintai ini. Apakah tahun 2010 akan membawa perubahan dari segi keselesaan dan keadilan hidup kepada seluruh rakyat Malaysia ? Ataupun adakah tahun baru nanti rakyat akan lebih tertekan ?
Tahun 2009 yang akan melabuhkan tirainya bermula dengan kontroversi dan berakhir dengan kontroversi juga. Tahun 2009 bermula dengan 3 ekor katak Pakatan Rakyat di Perak bertindak keluar dari parti PKR dan DAP untuk menjadi Adun yang mesra BN sehinggakan terkuburnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Hingga kini, kita masih lagi menanti siapakah Menteri Besar Perak yang sah. Keaiban yang dilakukan UMNO/BN merampas kerajaan negeri yang dipilih rakyat terus menjadi polemik sehingga berlabuhnya tirai 2009 tanpa diketahui siapakah yang sebenarnya Menteri Besar yang sah. Walaupun pelbagai undang-undang sebelum ini dirobek BN sesuka hati mereka, rakyat masih berharap keadilan akan berpihak kepada rakyat untuk menentunya.
Segar dari kemenangan yang bersejarah Pakatan Rakyat dengan 5 buah negeri milik Pakatan Rakyat pada PRU 12 , tahun 2009 juga menyaksikan 9 pilihanraya kecil diadakan , 3 kerusi Parlimen dan selebihnya kerusi Dun. Keputusan pilihanraya kecil ini jelas menunjukkan rakyat masih lagi menolak BN apabila 7 daripada pilihanraya kecil tersebut memihak kepada Pakatan Rakyat. Kesan daripada momentum pilihanraya umum ke 12 yang lalu memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil tersebut.
Kematian yang mencetuskan kontroversi juga terjadi pada tahun 2009 ini, kes A Kugan yang mati semasa dalam tahanan polis dan kematian setiausaha politik kepada wakil rakyat dari DAP , Teoh Beng Hock semasa dalam tahanan SPRM juga masih menjadi tanda tanya sehingga kini. Kedua-dua kes tersebut telah sedikit sebanyak mencalar kredibiliti penjawat awam beruniform dan juga negara hasil daripada liputan yang meluas oleh media-media asing.
Tahun 2009 juga menyaksikan rating Malaysia dari segi rasuah menjunam lagi hasil kajian yang dikeluarkan oleh Transperancy International. Malaysia berada di tangga ke 47 jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran kita Singapura yang berada di kelompok 10 negara paling kurang rasuah. Paling mendukacitakan kita adalah terbongkarnya kes rasuah berprofil tinggi iaitu skandal PKFZ yang berjaya meleburkan hampir 4 bilion ringgit wang rakyat. Selanjutnya, hasil daripada laporan ketua audit negara untuk tahun 2008 juga merentap kesabaran rakyat apabila laporan mendedahkan masih lagi terdapat penyelewengan dana kerajaan oleh badan berkanun kerajaan seperti pembelian komputer riba termahal dalam sejarah berharga RM 40,000 sebuah yang diberitakan dibeli oleh Kolej Tinggi Kemahiran Mara Balik Pulau.
Kerajaan Najib juga hampir ditumbangkan dipenghujung tahun 2009 apabila nyaris-nyaris belanjawan 2010 yang dibentangkan Najib tidak dapat diluluskan di Parlimen. Namun, BN boleh dikatakan bernasib baik kerana dapat mencapai kelebihan majoriti hanya 3 undi untuk meluluskan belanjawan tersebut. Kemelut pemerintahan Najib bersambung dengan episod duka yang tidak kurang hebat juga apabila skandal kehilangan 2 enjit jet F-5E yang berharga RM 50 juta dari depot simpanan peralatan TUDM semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan dahulu.
Tahun 2009 juga menyaksikan Najib dimalukan diluar negara oleh kerana kes kematian model Mongolia Altantunya Sariibu yang dikaitkan media asing dengan Najib dan Razak Baginda.
Diharap tahun 2010 nanti membawa lebih banyak kelebihan kepada gagasan Pakatan Rakyat yang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan konvensyen pertama Pakatan Rakyat diawal Disember lepas. Dan tahun 2010 juga mungkin menyaksikan Pakatan Rakyat diluluskan penubuhannya oleh ROS sebgai satu gagasan alternatif kepada rakyat selain BN yang semakin tidak relevan ini.
No comments:
Post a Comment