Friday, December 25, 2009
Pakatan Rakyat..Langkah Seterusnya
Berkonvensyen pun sudah..berlogo pun sudah..malah bersatu pun sudah...jadi apa yang perlu Pakatan Rakyat lakukan adalah mengotakan segala janji yang diwar-warkan sebelum semasa di konvensyen. Apabila Professor Abu Hassan mendedahkan bahawa 400% pengundi muda yang berpihak kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu sudah bergerak meninggalkan Pakatan Rakyat, hampir tidak ada tindakan susulan untuk sekurang-kurangnya membuktikan kebenaran dakwaan tersebut. Pemimpin - pemimpin Pakatan Rakyat dilihat seolah-olah berpendapat keadaan adalah sebaliknya dan rakyat masih bersama Pakatan Rakyat.
Apakah percaturan ini tepat dan apakah benar telahan Pakatan Rakyat bahawa sebahagian besar pengundi masih lagi berpihak kepada mereka? Yang pastinya...Professor Abu Hassan merupakan seorang penganalisa politik yang terkenal di negara kita ini, maka andaian melalui pengamatan dan kajian beliau haruslah diambil perhatian secara serius oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Dan pemimpin-pemimpin diperingkat kawasan yang begitu hampir dengan pengundi perlu lebih aggresif menangani segala permasaalahan rakyat dikawasan mereka.
Momentum Pakatan Rakyat sejak PRU 12 yang lalu seakan-akan kendur sekarang ini. Ditambah pula dengan pelbagai insiden yang berkisar dikalangan pimpinan Pakatan Rakyat sehinggakan ada pimpinan yang melompat parti. Kemelut kepimpinan terus melanda parti-parti komponen Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Malah ada dikalangan rakyat sudah mula berpendapat Pakatan Rakyat haruslah lebih bersikap professional dalam menjalin hubungan sesama pemimpin-pemimpin mereka. Seringkali rakyat dihidangkan dengan isu-isu kepimpinan yang remeh temeh dihangatkan pula dengan reaksi, komen-komen dan malah sidang akhbar yang menghentam sesama mereka. Lebih mendukacitakan ada komen-komen yang bertentangan seolah-olah tiada langsung perbincangan sesama mereka sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Segala kemelut ini seakan memberi hidangan yang lazat kepada BN untuk mengambil kesempatan mengeksploitasi segala kepincangan dalam hubungan Pakatan Rakyat dan menggunakannya untuk menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat hanya indah pada nama dan rakyat sekarang ini seolah-olah telah termakan hasutan BN ini. Jadi harapan rakyat, pimpinan Pakatan Rakyat haruslah bergerak untuk memperkasakan hubungan antara mereka agar rakyat kembali menyokong Pakatan Rakyat.
Kepimpinan Pakatan Rakyat harus mengorak langkah yang lebih jelas memperkasakan hubungan sesama mereka demi merealisasikan kejayaan melangkah ke Putrajaya. Rakyat mulai merasa bahang pilihanraya ke13selepas konvensyen Pakatan Rakyat berlangsung minggu lepas. Rakyat seolah-olah diberi nafas baru selepas konvensyen tersebut kerana buat pertama kalinya rakyat mempunyai gagasan alternatif kepada BN. Setelah 50 tahun merdeka rakyat buat pertama kalinya akan membuat satu pemilihan yang cukup kritikal pada PRU 13 nanti, samaada terus kekal dengan BN ataupun memberi peluang buat pertama kaliya kepada Pakatan Rakyat menerajui tampuk pemerintahan.
Jadi langkah Pakatan Rakyat seterusnya dalam masa 2 tahun ini ialah memastikan rakyat diberi peluang menilai keutuhan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat seharusnya bergerak seiringan dalam apa jua perancangan dan juga seiringan mengorak langkah bersama rakyat mengharungi segala rintangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment