Monday, October 26, 2009

Luahan ..Hati.



Pemimpin tertinggi PAS sepatutnya lebih terbuka dengan senario politik dan keadaan sekarang yang memerlukan kerjasama yang erat diantara mereka. Pendokong - pendokong PAS selama ini ataupun yang dikatakan ahli-ahli PAS memandang tinggi pemimpin-pemimpin PAS dan juga amat berharap segala kekecohan atau perselisihan faham diatasi segera dalam suasana mahabbah demi keutuhan parti yang mereka sayangi.

Sehubungan dengan itu , ahli-ahli PAS yang berlatarbelakangkan pendidikan yang berbeza ingin melihat satu titik pertemuan yang jitu antara golongan yang dikatakan ulamak dan golongan professional. Pemimpin harus bertindak bijak menangani kepelbagaian latarbelakang ini agar seluruh ahli-ahli PAS merasa diri dan pandangan mereka dihargai.Tidak dapat dinafikan ada diantara mereka yang begitu memandang tinggi akan seseorang pemimpin itu sehinggakan sanggup bertegang leher mempertahankannya. Dan tak kurang juga ada yang sanggup bertindak diluar batasan menghina pemimpin-pemimpin yang dirasakan tidak layak memimpin mereka.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan perjuangan PAS akan merasa tersinggung dengan keadaan yang melanda kepimpinan PAS mutakhir ini. Pandangan umum mengenai kemelut atau ketidakstabilan pucuk pimpinan parti terus dirasai oleh mereka. Ulasan-ulasan pemimpin didalam media arus perdana sejak akhir-akhir ini terus menerus menghantui mereka. Media arus perdana pula yang terang terangan dimiliki oleh Umno mengambil kesempatan mengeksploitasikan permasaalahan ini. Mingguan Malaysia baru-baru ini memuatkan hampir 6 berita mengenai EGM PAS, termasuklah dimuka hadapan akhbar tesebut.



Pemimpin-pemimpin tertinggi PAS perlu sedar bahawa satu-satunya sumber berita yang dapat diakses oleh sebahagian besar ahli dan pendokong PAS adalah media-media arus perdana yang kesemuanya diungguli oleh Umno. Alternatif yang lain hanyalah dapat dilayari oleh mereka di internet dan hanya sebahagian kecil saja yang mempunyai kesempatan tersebut.Jika keadaan sebegini tidak dapat dimenafaatkan oleh mereka, oleh itu tercetusnya berita-berita sensasi sebegini akan dapat mempengaruhi sebahagian besar ahli ataupun pendokong PAS. Pemimpin - pemimpin PAS juga sepatutnya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan agar tindak tanduk mereka tidak dapat diterjemahkan sebaliknya. Saranan Presiden PAS TGHH agar segala permasaalahan diselesaikan secara musyawarah amat dialu-alukan walaupun setelah sebahagian besar isu ini telah menjadikan ahli-ahli PAS dalam keadaan bercelaru.

Keadaan yang berlaku sekarang ini telah sedikit sebanyak mencalar imej PAS selama ini. Imej PAS yang terus dihormati oleh kawan dan lawan telah terhiris disebabkan oleh isu perselisihan ini. Tidak dapat dinafikan lagi memang akan ada pelbagai bentuk ketidakpuasan hati ataupun perselisihan pendapat dikalangan apa-apa pertubuhan, namun ianya dapat diselesaikan dengan bermusyawarah. Pun begitu, saranan TGNA agar diadakan satu bentuk mesyuarat khas ataupun EGM juga perlu diambil kira oleh pemimpin tertinggi. Setiap mata dan telinga ingin melihat sendiri kebenaran yang ada jika satu bentuk kerjasama PAS dan Umno benar-benar terjadi disebalik tabir seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.

Bukan hanya ahli-ahli PAS sahaja yang inginkan kebenaran tersebut, sebaliknya mereka yang diatas pagar dan juga yang bukan Islam menanti dengan penuh minat akan situasi ini. Muktamar yang lalu telah mengambil satu ketentuan untuk mengeratkan hubungan PAS didalam Pakatan Rakyat dan menolak apa saja hubungan politik dengan Umno. Jadi, rakyat ingin melihat sejauh mana ketetapan ini dipatuhi dan rakyat inginkan kepastian dari pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dalam hal ini.

3 comments:

kereta sorong said...

sekiranya diadakan EGM sekalipun tiada penyelesaian muktamad. kalau pro perpaduan menang.. apa akan terjadi ? kalau anti perpaduan menang pula apa akan terjadi ? Takperlu diikuti cara MCA. Eloknya.. pemimpin berunding dalam majlis Syura Ulamak .. dan TGNA dan TGHH perlu direhatkan ..dan menjadi ahli tetap MSU pun tak ape.. Ni semua adalah kerana 308 yang lalu..

Anonymous said...

Peninggg... bukanya memikirkan bagaimanana cara untuk menghadapi PRU13 tetapi peningg... memikirkan kerenah pemimpinan PAS.Wahai pimpinan PAS.PAS mendapat sokongan bukanya sahaja daripada ahli tegar PAS tetapi dari kaum cina ,india , siam,UMNO dan org atas pagar.Buka la minda sikit jgn la dok berpolitik zaman 80an..

Anonymous said...

Salam..Sokongan samaada ianya datang dari orang Pas atau bukan orang Pas tidak seharusnya menjadi persoalan pokok . Yang penting istiqamah atas perjuangan menegakkan hukum ALLAH di bumi Malaysia yang menjadi keutamaan. Yakinlah kita pada Qudrah dan Iradah ALLAH swt kerana sesungguhnya ALLAH MAHA mengetahui. Kalau ditakdirkan PAS tidak berjaya mentadbir dalam masa terdekat ini PRU13 kerana sokongan bukan Islam yang menurun, ahli Pas tidak harus menoleh kebelakang, tapi harus terus maju kehadapan dan berjuang terus dengan ikhlas agar ALLAH meredhai kita dan memberi kemenangan yang mutlak kemudian. Namun tidak dinafikan perancangan yang terliti perlulah ada, kenyataan yang boleh dieksploitasikan oleh mana-mana pihak haruslah dielakkan oleh kita sebagai pemimpin yang dipandang rakyat. Mungkin perselisihan merupakan satu rahmat, namun bermusyawarah itu lebih perlu diberi perhatian.
Wallahualam