Tuesday, September 29, 2009

Rakyat Patut Tolak Calon Korup....


Sudah terang lagi bersuluh...Rakyat Bagan Pinang diharap dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan tepat kali ini setelah selama ini gagal dimenafaatkan oleh mereka. Setelah Isa Samad diumumkan oleh Muhyiddin sebagai calon BN di PRK Bagan Pinang, rakyat Bagan pinang sepatutnya bangkit untuk menolak Isa Samad.

Dengan perlantikkan Isa Samad sebagai calon BN , Umno sebenarnya telah menghina pengundi-pengundi di Bagan Pinang, kerana Isa Samad sebelum ini telah didapati bersalah megamalkan rasuah. Penghinaan berterusan BN terhadap rakyat dengan menidakkan hak rakyat kepada wakil yang telus dan bersih mesti ditamatkan.Pengundi di Bagan Pinang seeloknya berfikir masak-masak sebelum memilih Isa Samad sebagai wakil rakyat mereka kerana beliau mempunyai rekod buruk dalam pentadbiran. Rakyat Bagan Pinang berhak kepada calon yang berintegriti tinggi dan amanah bagi mewakili mereka.

Perlantikkan Isa Samad juga menunjukkan bahawa Umno selama ini memang tidak berniat langsung untuk membenteras amalan rasuah. Terdahulu, Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka juga dikekalkan jawatannya walupun terbukti mengamalkan politik wang semasa permilihan parti Umno yang lalu. Dan kemenangan Khairi Jamaludin sebagai Ketua Pemuda juga dikekalkan biarpun bersalah menggunakan wang. Jadi amalan membenteras rasuah didalam Umno sebenarnya merupakan retorik semata-mata.


Didalam hal ini , Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir, pun sealiran dengan rakyat dan menyeru kepada rakyat supaya menolak calon yang korup. BN dengan angkuhnya meletakkan Isa Samad yang korup sebagai calon kerana berpendapat yang rakyat Bagan Pinang jahil dan tidak dapat menilai antara kaca dengan permata dan akan terus mengundi BN. Dengan lebih 35% undi Pos di Bagan Pinang ini, BN merasakan diri mereka kebal di Bagan Pinang dan seterusnya berpendapat mereka akan menang walaupun calon yang dipilih mereka korup.

Justeru itu, pengundi Bagan Pinang terutamanya anggota keselamatan haruslah bersikap rasional dan bijak memilih agar kesinambungan pemimpin yang bersih , berintegriti dan beramanah menjadi tunjang rakyat Malaysia. Kerajaan dan pemimpin yang korup tidak sepatutnya dibiar memerintah berterusan seolah-olah rakyat akur dan redha dengannya. Dunia sedang memerhati PRK Bagan Pinang ini dengan terperinci kerana ianya melibatkan hala tuju kerajaan yang baru. Dunia ingin menilai tahap pemikiran dan juga tahap kematangan pengundi Malaysia samada masih ditakuk lama ataupun telah bersikap lebih matang dan bijak memilih pemimpin.



Pas sebaliknya telah memilih seorang calon yang lebih beramanah dan berintegriti iaitu Sdr Zulkefli Mohammad Bin Haji Omar.Pemilihan Pesuruhjaya Pas Negeri ini yang mempunyai rekod yang bersih serta berpelajaran tinggi. ( Master Sains UPM dan Ijazah Komunikasi UITM )

Monday, September 28, 2009

Undi Pos - Bagan Pinang



PRU 12 pada tahun 2008 di Bagan Pinang menyaksikan kekalahan teruk PAS kepada BN melalui undi Pos. Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

Sekali lagi pada 11 Oktober 2009 nanti, mungkinkah igauan buruk akan terus berlaku kepada PAS untuk undi-undi pos ini nanti? Ataupun berkat doa dan pertolongan dari Allah, BN yang sebelum ini menang selesa akan mengalami kejutan kali ke 8 dan tersungkur di Bagan Pinang?

Apapun yang terjadi, sistem pengundian pos ini haruslah dikaji SPR jika betul-betul inginkan ketelusan dan mendapat keyakinan dari rakyat. Adalah amat malang bagi Malaysia, walaupun sudah 52 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihanraya terutamanya undi Pos dengan lebih bebas dan adil. Ternyata sepanjang undi POS diperkenalkan masih banyak dakwaan-dakwaan tentang undi POS seperti tidak telus dan rahsia, wujudnya pengundi hantu dalam sistem undi pos, undi pos tidak relevan, kesahihan undi pos diragui dan wujudnya ugutan dalam sistem undi Pos yang penuh dengan kontroversi sehingga memberi pandangan negatif orang awam terhadap Suruhanjaya Pilihanraya.

Suruhanjaya Pilihanraya seharusnya meneliti perjalanan pengundian pos ini dengan lebih terbuka dan mengenal pasti kelemahan - kelemahan Undi Pos secepat mungkin agar PRU 13 nanti akan lebih telus dan dihormati rakyat. Dan bukannya bertindak seakan-akan lidah BN. Langkah mengadakan PRK dihari cuti umum merupakan permulaan yang baik, dan SPR seterusnya bertindak lebih baik dengan membaikpulih sistem Undi Pos yang ketinggalan zaman ini.

Ibrahim KoK (King of Katak)



Maka berkatalah seekor katak yang ajaib ini menyuruh memanda Menteri Besar meletak jawatan atas alasan faktor tua dan tiada kemajuan selepas 22 tahun, katanya .....

Katak yang ini merupakan katak ajaib sebab dia boleh melompat berkali - kali tanpa disedari kawan dan lawan dan boleh menyerupai pelbagai rupa untuk mengelirukan orang. Katak ni pernah seketika dulu mewakili sebuah parti Melayu..kemudian menggunakan kuasa ajaibnya melompat ke S46 dan kemudian melompat lagi kembali ke parti Melayu ini dan kemudian lompat lagi untuk bebas..dan kemudian tergedik-gedik merayu Pas agar mencalonkan dia di Pasir Mas pada PRU 12 yang lalu.

Tindak tanduk katak ajaib ini semakin hari semakin memualkan semua orang kecuali dirinya sendiri. Katak yang lupa daratan ini semakin galak setelah juak-juak Umno sakan menyokong dia. Terbaru , Ketua Menteri Melaka, Ali , menyuarakan sokongan beliau kepada katak ajaib ini mendesak Memanda Menteri Besar Kelantan meletak jawatan.Lupakah Ali selama ini siapa yang sepatutnya meletak jawatan? Siapa yang didapati bersalah mengamalkan politik wang?

Kembali kepada katak yang seekor ini, terang-terangan sekarang ini cuba melompat ke parti Melayu kembali. Mulalah membodek sana sini, mulalah menyokong Presiden dan juga Mantan Presiden parti Melayu ini. Mulalah memuji tak tentu hala seakan-akan Mantan Presiden Madey umpama Melayu yang paling dihormatinya selama ini. Teringat suatu ketika dulu , semasa katak ini berada didalam parti S46, Mantan Presiden dikutuk semahu-mahunya. Mantan Presiden dipersenda semahu-mahunya disetiap kesempatan yang ada. Lain pula bunyinya sekarang ini, Mantan Presiden dipuji semahu-mahunya pula. Mantan Presiden ditatang bagi minyak yang penuh pula sekarang ini. Segala kata - kata Mantan Presiden sekarang umpama keramat baginya, pendek kata, semuanya berguna kepada kerajaan.

Kesimpulannya...Pakatan Rakyat haruslah lebih berwaspada dimasa hadapan. Jangan diterima lagi Katak - Katak Kerajaan.

Sunday, September 27, 2009

Tan....XXX....Tun


TAN


Umno Telok Kemang terus mendesak agar Ketua Bahangian Umnonya Tan dicalonkan sebagai calon Umno ke PRK Bagan Pinang. Walhal, Tun masih tidak berganjak dengan pendiriannya agar Tan mengundurkan diri dan memberi laluan calon yang lebih bersih bertanding. Bagi Tun jika Tan dicalonkan , alamatnya berkuburlah Umno di PRU 13 nanti, kerana baginya Tan tidak bersih dan Tun tidak mahu keputusan PRK Permatang Pasir berulang.

Tapi, wajarkah Tun memberi buah fikirannya mengenai isu bersih atau tidak seseorang itu. Kerana selepas pemilihan parti Umno pada 1987 yang menyaksikan hampir-hampir Tun tersungkur ditangan Tengku, politik wang berbunga..Lupakah Tun, sistem kuota yang diperkenalkannya setelah itu telah membuahkan politik wang dalam Umno. Dan tidak mustahil bila Umno disuburkan oleh mereka-mereka yang korup dek kerana sistem kuota ini. Jadi wajarkah Tun untuk mempertikaikan integriti orang lain apabila Tun sendiri tidak bersih. Dan selama Tun menerajui parti Umno, Tun tidaklah pula hendak membenteras politik wang dalam Umno, Tun sendiri yang mengakui kegagalan Tun. Walhal, dizaman Tun jugalah ,Tan menjadi amat popular dan disenangi hampir semua perwakilan sehinggakan Tan mendapat undi tertinggi sebagai Naib Presiden dalam pemilihan Umno.

Jadi apabila Tun memberi komen dan mendesak agar pucuk pimpinan menolak Tan, semakin ramai pula yang menyokong Tan. Tan boleh mempertikai telahan Tun dalam isu ini, ambil contoh Ali Rustam yang masih berjaya mengekalkan kerusi Menteri Besarnya walaupun terbukti bersalah menggunakan wang baru-baru ini. Ketua Pemuda juga terlepas dari hukuman walaupun terbukti menggunakan wang, jadi bagi Tan tiada apa yang salah jika Tan terus menjadi wakil ke PRK Bagan Pinang. Jika ahli-ahli Umno masih boleh menerima KJ dan Ali , mengapa pula mereka tidak boleh menerima Tan sebagai calon. Padahalnya, Tan memang diterima baik oleh rakyat Bagan Pinang kata Ketua Pemuda Umno Bagan Pinang.

TUN


Walau siapa pun yang akan dicalonkan kelak, Bagan Pinang akan menyaksikan satu lagi persaingan yang sengit antara pemimpin Umno dan proksi-proksi mereka melobi untuk menjadi calon ke pilihanraya kecil nanti.

Makkal Sakhti !.... Madey Sakhti !



Mantan Perdana Menteri , Dr Mahathir berkata penubuhan sebuah lagi parti politik untuk kaum India 'Makkal Sakhti' , iaitu serpihan dari Hindraf , merupakan satu langkah yang positif dan tepat pada masanya kerana MIC sudah tidak berjaya lagi mengembalikan kepercayaan kaum India kepada kerajaan . Tun Madey, yang sejak akhir-akhir ini menempelak Presiden MIC , Samy berkata sudah tiba masanya kaum India diberi nafas baru dengan tertubuhnya sebuah lagi parti khusus untuk kaum India. Madey yang sejak akhir-akhir ini kerap memberi kenyataan mendesak Samy Vellu supaya meletak jawatan berpendapat penubuhan Makkal Sakhti kena dan tepat pada masanya.



"Oleh kerana dilihat terdapat banyak sokongan bagi penubuhan parti ini, saya fikir ia adalah baik kerana kita (kerajaan) tidak mahu kehilangan sokongan kaum India," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Ditanya sama ada penubuhan parti itu akan memberikan kesan terhadap pengaruh MIC selaku parti utama kaum India di negara ini, Dr Mahathir berkata,:"Saya fikir pengaruh MIC sudah semakin luntur". Dan Madey juga mengulangi pendiriannya supaya Samy Vellu meletak jawatan sebagai Presiden MIC untuk memberi ruang kepada kaum India memilih pemimpin yang baru.



Makkal Sakhti Malaysia yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 10hb Oktober 2009 ini akan diharap dapat sedikit sebanyak mengembalikan kepercayaan kaum India kepada kerajaan. MIC akan menjadi serpihan kepada BN setelah Najib dan Tun Madey telah secara terang-terangan menunjukkan sokongan mereka. Justeru itu , karier politik Samy Vellu juga akan terkubur dengan sendirinya jika Makkal Sakhti mendapat sokongan yang padu dari kaum India.


Kenyataan Madey itu dilihat lebih untuk 'survival' politik BN bagi menghadapi PRU 13 nanti kerana BN amat sangat berharap Makkal Sakhti boleh membawa lebih 70% undi kaum India kembali kepada BN. Samy Vellu sepatutnya lebih peka dan bertindak membawa MIC keluar dari BN kerana sokongan kepada beliau hanyalah untuk meraih undi kaum India semata-mata.

Rakyat DiDahulukan...Apa Ke Jadah !




Kos modal permulaan untuk F1 Malaysia dianggarkan RM168 Juta dan bajet tahunannya pula mencecah sekurang-kurangnya RM 308 Juta setahun. Begitulah anggaran perbelanjaan yang akan diguna pakai oleh F1Malaysia bermula tahun 2010. Kononnya, ini dapat direalisasikan kerana suntikan dana pakej ransangan ekonomi yang berjumlah RM 67 Billion oleh kerajaan pimpinan Najib telah menampakkan hasil.

Begitu besar jumlah wang yang akan dibelanjakan menunjukkan seakan-akan negara Malaysia ini setanding dengan negara - negara maju yang lain.
Walhal, negara-negara yang lebih maju dan mempunyai kepakaran pun tidak terlintas langsung untuk mempunyai pasukan F1 mereka sendiri. Tak terdengar langsung negara Korea ataupun Taiwan yang jauh lebih maju dari kita kepingin untuk berlumba - lumba untuk bersaing. Hatta, tak kedengaran langsung negara Amerika Syarikat yang mempuyai kepakaran dan teknologi jauh lebih baik dari Malaysia bercita-cita untuk mempunyai pasukan F1 sendiri.

Mungkin Malaysia ini terlebih wang sehinggakan sanggup mengenepikan kepentingan rakyat yang lebih memerlukan. Nampaknya slogan Rakyat Didiahulukan hanyalah retorik semata-mata dan sebenarnya kerajaan lebih gah untuk berboros daripada membantu rakyat. Tidak sedarkah kerajaan dengan wang Rm 308 Juta ini , kerajaan dapat membina lebih 10 000 buah rumah kos rendah setahun jika seunit rumah berharga RM 30 000?

Jika dihalusi , sebenarnya hanya segelintir sahaja rakyat Malaysia yang beria-ia sangat hendakkan F1 ini. Pembaziran demi pembaziran akan lebih kerap berlaku jika kerajaan yang ada sekarang masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara. Sesudah 52 tahun memerintah, kerajaan BN masih lagi tidak mengendahkan nasib rakyat kebanyakkan yang lebih memerlukan ketelusan dalam perbelanjaan wang rakyat.

Friday, September 25, 2009

Ramadhan Yang Berlalu


Detik 1 Syawal Aidil Fitri sudah pun hampir seminggu berlalu, kenangan berkunjung ke rumah sanak saudara dan juga sahabat handai sedikit sebanyak dapat mengubat perasaan rindu. Perbezaaan ideologi dan politik dilempar jauh dan tradisi maaf-memaafi berterusan sehingga kini.

Jauh disudut hati , harap - harap diri ini diberi rahmat agar dapat bertemu dengan Ramadhan lagi ditahun hadapan, IsyaAllah....Memang itulah yang meruntun perasaan kita setiap kali berakhirnya Ramadhan dan setiap kali berlalunya detik 1 syawal. Harapan tetap tinggal harapan jika perjalanan yang kita lalui sebulan yang lalu ditinggal begitu sahaja tanpa apa-apa pengajaran yang kita perolehi darinya.

Masjid dan surau-surau kembali suram dengan hanya tinggal beberapa saf sahaja. Tiada lagi kelihatan deretan kereta dan motor dihalaman masjid, tiada lagi suara riuh rendah anak-anak kecil bermain-main dan tiada lagi kelihatan timbunan kasut dan selipar ditangga masjid. Inilah kenyataan yang kita lalui setiap kali berakhirnya Ramadhan dan setelah berlalunya 1 Syawal.

Kita akan kembali menjadi insan yang paling sibuk didunia dengan kerja-kerja duniawi kita. Kalau dulu semasa sebulan bulan Ramadhan , kita sempat berjemaah di Masjid, kita sempat membaca helaian demi helaian Al Quran dan kita rajin bersedekah, tetapi semuanya seakan direntap dari kita. Kita kembali ketabiat lama kita. Kita kembali merasa dangkal jika terus menerus berjemaah di Masjid. Kembali merasa tidak apa jika tidak membaca Al Quran dan merasa tiada apa-apa yang kurang jika tidak bersedekah. Jika itulah yang kita lalui sekarang ini, bermakna kursus sebulan yang kita lalui baru-baru ini masih tidak mencukupi, perjalanan mengharungi sebulan bulan Ramadhan seakan tidak memberi kesan yang mendalam kepada diri kita.
Ayuh marilah kita bersama-sama menilai semula amalan kita selama ini. Marilah bersama-sama kita tingkatkan amalan kita sebanyak mungkin. Alangkah ruginya kita jika tidak berjaya mengambil apa-apa pengajaran dari Ramadhan yang lalu. Mungkin kita tidak akan berjumpa dengan Ramadhan lagi selepas ini.

Rasuah ...RM 10 BILLION Setahun???


Kajian tahunan oleh Global corruption watchdog, Transparency International (TI) telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke - 47 negara yang paling kurang rasuah daripada 180 buah negara. Negara seperti Denmark , New Zealand dan Sweden merupakan 3 buah negara yang paling kurang rasuah dalam ranking tersebut. Selanjutnya , negara jiran kita Singapura berada didalam kelompok 10 terbaik yang dinilai setiap tahun oleh Transperancy International (TI).
Amat memalukan kita, sebuah negara yang gah dengan pelbagai slogan anti rasuahnya telah dinilai sedemikian rupa, dan ini menunjukkan kerajaan yang ada sekarang tidak serius untuk menangani gejala rasuah di Malaysia.

Lebih mememaranjatkan, pendedahan Transperancy International (TI)mengenai dasar 'revolving door' dimana individu dari kerajaan boleh beralih ke perniagaan ataupun politik dan berpatah balik ke kerajaan , akan melibatkan jumlah wang rasuah yang besar sehingga mencapai RM 10 billion setahun. Penglibatan secara serius kerajaan dalam sektor awam dan penglibatan individu - individu yang berkepentingan dalam perniagaan dan campurtangan mereka di dalam politik telah memburukkan lagi keadaan. Seterusnya dasar ini telah meminimakan ataupun menyebabkan hampir tiada langsung konsep 'check and balance' dalam pentadbiran negara.

Selanjutnya, perhubungan yang kompleks akibat campurtangan politik dalam sektor awam dan juga swasta membolehkan rasuah menjalar tanpa dapat disekat. Kecuali jika ada garis panduan yang jelas memisahkan hubungan antara Kerajaan , Politik dan Perniagaan , dasar membenteras rasuah ini akan hanya tinggal slogan yang tak berguna.

Disebalik ranking yang buruk untuk Malaysia, Transperancy International (TI) telah secara terang-terangan memuji dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang didalam usaha kerajaan negeri membenteras rasuah sejak tahun 2008 melalui dasar CAT ( Competency , Accountability and Transperancy).

Friday, September 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA



Pihak AJK Kerja PAS Taman Bertam Indah 2009-2011, Mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin Kepada Seluruh Pendokong Perjuangan PAS Dan Umat Islam Keseluruhannya. Semoga Ramadhan Yang Berlalu Merupakan Ramadhan Yang Terbaik Dan Sambutan Aidil Fitri Kali Ini Akan Lebih Bermakna.

Wednesday, September 16, 2009

Malaysia Boleh Lagi..F1 pulak ....



F1 Malaysia Team ???


PM 1Malaysia hari ini dengan perasaan bangganya mengumumkan bahawa Malaysia akan ada pasukan F1 sendiri tahun depan. Projek yang akan dijalankan atas kerjasama gabungan kepakaran Proton dan Lotus dengan disokong oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM), Naza Motor dan Air Asia dan perlaburan kerajaan Malaysia adalah melalui Proton Bhd.

Satu lagi pendekatan Malaysia Boleh yang diagung-agungkan oleh kerajaan kita dari dulu sampai sekarang. Tidak mustahil satu hari nanti kita terpaksa mencari alternatif baru untuk memiliki kenderaan sendiri akibat kenaikan harga proton akibat terlalu banyak wang yang telah dilaburkan untuk F1 teamnya.

Apa yang rakyat dapat dari inisiatif ini yang baru ini? Adakah rakyat yang berada dikampung-kampung akan terus berbangga dengan kebolehan unik Malaysia nanti? Alangkah baiknya jika berbilion-bilion wang yang akan dilaburkan kelak digunakan secara terus untuk kebajikan rakyat.



Masih banyak lagi ruang dan tempat untuk kita menyalurkan dan membelanjakan wang rakyat secara berhemah. Di Malaysia ini masih ramai lagi rakyat yang tak mempunyai bekalan air bersih, yang masih menggunakan pelita ayam untuk menerangi malam dan yang masih lagi berjalan berbatu-batu sehari kerana tidak mampu mempunyai kenderaan sendiri. Masih ada yang hidup umpama kais pagi makan pagi , kais petang makan petang. Rakyat sekarang ini terdesak dek disebabkan keadaan ekonomi yang tak menentu. Dengan lebih berpuluh ribu orang diberhentikan kerja setakat ini, tidak termasuk dengan yang dipotong gaji mereka, berita pembaziran menyentap kesabaran rakyat. Tidak cukupkah berjuta-juta duit rakyat dibelanjakan melalui Petronas setiap tahun hanya untuk menjadi sebahagian penaja F1?

Tuesday, September 15, 2009

Kalau Dah Takdak Kuasa..Alahai





Kecoh 1Malaysia , Tun Det nak dikalung dengan selipar oleh perwakilan MIC kerana campur tangan beliau dalam krisis dalaman Parti MIC. Maka bangunlah beberapa pejuang Umno menempelak cadangan tersebut yang dianggap kurang ajar kerana gagal menghormati seoarang negarawan.

Itulah yang dikatakan adat dunia..bila dah tak berkuasa dan cakap pun mula dah merapu, sedikit demi sedikit rasa hormat rakyat kepada Tun Det terhakis dengan sendirinya akibat keceluparan beliau.

Tun Det sepatutnya sedar akan senario ini, dan janganlah menganggap semua orang akan mendengar nasihatnya lagi bila dah tak berkuasa. Memang dah adat BN. Suatu masa dahulu Tunku Abdul Rahman juga telah dihina oleh Tun Det, dan sekarang ini beliau pula menerima padahnya.

Monday, September 14, 2009

Mimpi Kah Aku?? PRK hari Ahad




Macam tak percaya..dan macam bermimpi pula rasanya bila Pilihanraya Kecil akan diadakan pada hari Ahad cuti hujung minggu. Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya , Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengumumkan tarikh pernamaan calon untuk N31 Dun Bagan Pinang adalah pada 3hb Oktober 2009 dan hari pengundian pula adalah pada hari AHAD 11hb Oktober 2009.

Setelah 8 Pilihanraya kecil yang lalu diadakan pada hari bekerja, kali ini SPR bertindak bijak dengan mengadakan pilihanraya pada hari Ahad yang berkemungkinan membolehkan lebih ramai pengundi menjalankan tanggungjawab mereka kali ini.

Mungkinkah ada muslihat kerajaan untuk memilih tarikh ini? Adakah mereka rasa ada keperluan yang mendesak untuk memastikan kemenangan mereka dengan memilih hari Ahad? Apa pun keputusan SPR , Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menggempur Bagan Pinang tak kira hari bekerja atau pun tidak.

Sunday, September 13, 2009

Najib Suka..Orang Lain Meluat Dah....



Sebanyak 23 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia menggesa Tan Sri Musa Hassan menolak penyambungan kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara kerana beliau telah gagal menjalankan tugas beliau sejak perlantikan beliau tahun 2006 lagi. Antara pertubuhan yang lantang mengkritik beliau adalah Suaram dan juga Sister In Islam.

Gesaan ini dibuat memandangkan beliau gagal menjalankan tugas untuk sekurang-kurangnya menurunkan kadar 3 jenayah besar iaitu kadar jenayah, rasuah dan juga keganasan Polis itu sendiri. Suruhanjaya Diraja Polis mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak 20% pada tahun 2005, malangnya dibawah kendalian Musa, kadar jenayah naik sehingga 35.5%. Sebaliknya tindak tanduk pasukan beruniform ini dilihat lebih berminat untuk mempertahankan kerajaan sekarang seperti krisis di Perak.



Dalam gejala rasuah pula, Musa telah gagal untuk membenteras rasuah dikalangan anggota Polis dan beliau juga sekarang ini berdepan dengan afidavit gejala rasuah yang melibatkan dirinya sendiri. Tuduhan yang dibuat oleh pembantu - pembantu beliau sendiri tentang penyalahgunaan kuasa untuk kenaikan pangkat masih belum dijawab secara terbuka kepada umum.

Dimasa kendalian beliau juga, bebarapa insiden kematian tahanan dimasa berada didalam tahanan polis juga telah memburukkan lagi reputasi Polis Diraja Malaysia,

Atas sebab-sebab tersebut, Musa Hassan sepatutnya tidak menerima perlantikan semula beliau sebagai Ketua Polis Negara dan menyerahkan peluang ini kepada calon baru untuk menyuntik idea - idea baru yang diharap bakal memulihkan reputasi Polis.

Orang lain Dah Tak Suka...Tapi PM 1Malaysia Suka...Mungkin ada apa-apa yang tersembunyi kot?

Saturday, September 12, 2009

Isa Samad ...Innocent !!



Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad menegaskan kes disiplin membabitkan beliau sebelum ini bukanlah isu yang boleh dimainkan pembangkang, sekiranya beliau dicalonkan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Lembaga Disiplin UMNO sebelum ini menggantung keahlian Mohd Isa bermula 24 Jun 2005 sehingga 23 Jun 2008 kerana terbabit dengan amalan politik wang pada Perhimpunan Agung UMNO 2004 selepas memenangi jawatan Naib Presiden.Beliau berkata begitu setelah beliau yang juga bekas Menteri Besar semalam menerima sokongan dari 12 Ketua Umno Cawangan, 12 Ketua MiC Cawangan, dan 4 Ketua MCA Cawangan.

Tambahnya, kesalahannya bukanlah kesalahan jenayah tapi cuma kesalahan disiplin parti, walhal pembangkang yang merupakan bekas banduan boleh pula diterima sebagai YB. Dan beliau begitu yakin akan dapat mempertahankan kerusi Bagan Pinang jika terpilih menjadi calon BN.

Kita tidak boleh menyalahkan Tan Sri Isa Samad apabila beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian, kerana keadaan sekarang ini memanglah memihak kepada beliau. Ini kerana bagi Umno dan sekutunya, kesalahan menggunakan wang untuk berpolitik bukanlah satu perkara yang baru dan sememangnya sudah menjadi sebati dengan darah daging mereka.Dan selama ini pun setiap kali pemilihan Umno, kita akan mendengar lagu yang sama berkumandang di PWTC, dan ada kebenarannya apabila mereka yang menggunakan wang dapat memegang jawatan tinggi dalam parti. Jadi baginya, kesalahan sedemikan rupa hanyalah perkara yang remeh dan rakyat Bagan Pinang khasnya tidak akan ambil peduli tentang perkara ini.

Bagi beliau lagi, jika rakyat dapat menerima Lim Guan Eng malah Datuk Seri Anwar sebgai pemimpin, jadi tidaklah mustahil untuk rakyat memilih beliau semula. Tetapi beliau terlupa atas kapasiti apa, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ini dipenjara atau dihukum oleh mahkamah sebelum ini.Oleh kerana mempertahankan seorang gadis Melayu yang dirogol oleh seorang pemimpin Umno, Lim Guan Eng dijatuhkan hukuman penjara. Dan umum mengetahui perihal kes klasik Datuk Seri Anwar, usungan tilam dan manipulasi fakta serta hakim-hakim yang korup telah menyebabkan Datuk Seri Anwar dipenjara.

Jadi untuk membandingkan kesalahan mereka dengan kesalahan Tan Sri Isa Samad adalah satu helah dan mainan politik 'cetek akal'. Rakyat bukanlah senang untuk diperbodohkan dengan alasan yang sedemikian. Rakyat bukanlah satu badan berwajib yang dapat dimanipulasikan oleh Umno dan juak-juak mereka.

Friday, September 11, 2009

Umno .... Parti Islam ???



Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutama di rancangan-rancangan Felda.

PM 1 Malaysia ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini mempromosi Umno kepada rakyat dan menonjolkan dirinya sebagai seorang yang amat perihatin. Terdahulu beliau menonjolkan Umno sebagai pembela Islam di Manik Urai dengan mempelawa Pas bermuzakarah demi perpaduan Islam. Tapi tahukah beliau apa ertinya menegakkan agama Allah di Malaysia ini?


Persendakan Islam ???

Sedarkah beliau, dasar-dasar parti yang perlu ada sebelum mengisytiharkan Umno sebagai Parti Islam? Apa sumbangan Umno selama ini untuk menegakkan perundangan Islam di Malaysia? Apa sumbangan Umno untuk membasmi segala proksi-proksi maksiat di kelab-kelab malam, pust karaoke dan hotel-hotel murahan?


Mana Perginya Maruah Islam ???

Mengapa Umno begitu berbangga dengan budaya mempromosikan syiar Islam sahaja sedangkan syariat Islam yang lebih dituntut diketepikan terus? Gejala maksiat yang semakin menjadi-jadi sekarang ini terutamanya pelacuran dan sumbang mahram, tidak pula ada inisiatif dari kerjaaan untuk menghapuskannya sama sekali. Kes salah laku seks dikalangan remaja Islam yang begitu meruncing sekarang ini tidak pula Umno ingin membenterasnya. Malahan Umno pula menjadi pemangkin dan mempromosi gejala maksiat di Malaysia ini dengan kuasa yang ada pada mereka. Umno sepatutnya menumpukan kudrat yang ada untuk memberhentikan titik -titik mula maksiat seperti Jom Heboh dan konsert - konsert artis yang tidak senonoh. Melalui Kementerian Kebudayaan , Umno sepatutnya menggunakan kuasa mereka untuk menghadkan ataupun terus menghalang artis-artis kita yang semakin menjadi-jadi berpakaian dan berkelakuan tidak senonoh dan menjolok mata.


Budaya Islam????

Jadi, masih maukah PM kita ini mengistiharkan parti Umno sebagai Parti Islam hanya kerana faktor memperkayakan orang Islam? Masih ada maruahkah Umno untuk berdepan dan bersemuka dengan rakyat dan mendabik dada sebagai Parti Islam sedangkan negara dibawah pemerintahan Umno penuh dengan maksiat? Umno umpama Ayam Jantan , "Berkokok Kuat Namun Ekor Penuh Dengan Tahi Sendiri". Berapa ramai ahli-ahli Umno hatta pemimpin-pemimpin mereka sendiri yang berpakaian tidak menutup aurat dan tidak islamik langsung? Berapa banyak lagi Cawangan dan Bahagian Umno yang masih menganjurkan program - program kemaksiatan seperti pertandingan nyayian dan joget?


Patutkah Kelakuan Anak Pemimpin Islam???

Justeru itu, untuk melabelkan Umno sebagai sebuah Parti Islam amatlah keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya langsung.

Wednesday, September 9, 2009

Mintak Nyawa...Mintak Nyawa


Dalam keadaan tersepit dengan mainan isu perkauman mereka sendiri, Umno cuba mengalih pandangan rakyat sekali lagi dengan megutarakan isu perpaduan Islam. PM 1Malaysia sekali lagi cuba memainkan sentimen untuk penyatuan Islam kononnya dengan berulang kali ingin berunding dengan Pas demi survival Islam di Malaysia. Musyidul Am Pas , Nik Aziz menegaskan sekali lagi yang Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno selagi dasar- dasar yang dibawanya bertentangan dengan Islam.

Kenyataan TGNA ini dengan serta merta dipolitikkan oleh Umno melalui kenyataan pemimpin mereka melalui Utusan Malaysia. Kesempatan ini digunakan seluas-luasnya oleh mereka dengan cuba menonjol kononnya Umno lebih Islamik daripada Pas kerana sanggup berunding demi perpaduan Islam.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Ahmad Maslan berkata, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh menutup pintu rundingan mengenai kepentingan umat Islam dan rakyat di negara ini begitu sahaja. Beliau juga berpendapat kenyataan Nik Aziz itu bersifat peribadi dan tidak semestinya dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin lain dalam PAS.

Begitulah sikap pemimpin-pemimpin Umno yang akan mencuba sedaya mungkin bila tersepit dan cuba mengalih pandangan rakyat dari isu perkauman yang mereka reka sendiri. Dan mereka juga cuba melaga-lagakan pemimpin Pas dengan kenyataan mereka bahawa pemimpin-pemimpin Pas yang lain mungkin tidak bersetuju dengan TGNA.

Dengan PRK Bagan Pinang yang dijadualkan selepas Aidil Fitri dan menyedari keadaan Umno yang semakin tersepit dan nyawa-nyawa ikan, isu ini ditimbulkan sekali lagi. Isu perpaduan ini telah dimainkan oleh Umno semasa PRK Manik Urai yang lalu, dan Umno berharap dengan memainkannya sekali lagi, mereka dapat meraih undi daripada pengundi-pengundi di Bagan Pinang.

Tuesday, September 8, 2009

Rakyat Lunas Tolak Katak



Rata-rata rakyat Lunas merasa ditipu oleh Adun yang mereka lantik tahun lalu, YB Radzi yang melompat menjadi Adun bebas baru-baru ini. Beberapa kain rentang secara terang-terangan mengutuk tindakan YB Radzi keluar dari kerajaan Parti Keadilan Rakyat.Hinggakan ada yang sanggup berdiri berjam-jam membawa sepanduk menutuk tindakan YB Radzi.

Rakyat merasa cukup kecewa memandangkan wakil yang mereka harap dapat mewakili mereka dibawah panji-panji Pakatan Rakyat membuat tindakan sedemikian rupa dan mengkhianati amanah yang diberikan rakyat. Mereka tidak sanggup untuk menerima hakikat seperti yang berlaku di Perak dimana dua Adun dari PKR melompat parti menjadi Adun bebas dan seterusnya membuat pengakuan secara terbuka mnyokong BN sehingga terkuburnya kerajaan rakyat Perak beberapa bulan lepas.



Rakyat dengan sepanduk mereka mendesak YB Radzi supaya meletak jawatan serta merta untuk memberi laluan kepada pilihanraya yang baru untuk mewakili Dun Lunas. Bagi mereka , YB Radzi tidak lagi mempunyai hak untuk mewakili rakyat Lunas setelah keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat.



Pengkhianatan yang dilakukan oleh YB Radzi sama sekali tidak dapat dimaafkan oleh rakyat dan rakyat mahukan beliau serta merta mengosongkan kerusi Dun tersebut.

Musa Boleh .. PDRM Boleh .. Buat Apa Saja

Musa Aman yang baru sahaja dilanjutkan kontraknya sebagai Ketua Polis Negara memang terkenal dengan tindakan berat sebelahnya kepada Pakatan Rakyat. Malah beliau telah lama dipergunakan oleh kerajaan BN untuk terus berkuasa dan menidakkan hak rakyat yang inginkan keadilan. Tetapi amat berbeza tindakannya terhadap mereka yang pro kerajaan ataupun lebih tepat yang pro Umno.





Perhatikan perbezaan yang ketara dalam mengambil tindakan keatas perhimpunan haram. Jika Pakatan Rakyat yang lakukannya, segala bentuk kelengkapan kepolisan dibawa untuk menghadapai rakyat. pelbagai akta digunakan termasuklah akta drakonian ISA. Tapi jika ianya melibatkan Umno/BN , pihak polis hanya sanggup memerhatikan mereka dari jauh.





Bayangkanlah keadaan rakyat yang cintakan keadilan diasak oleh Polis, tetapi sebaliknya pelbagai provokasi termasuklah yang bersifat perkauman yang dilakukan oleh Umno dibiarkan begitu sahaja. Malah, Menteri Dalam Negeri sediri menjadi jurucakap mereka dalam perarakan kepala lembu baru-baru ini.






Keadaan sebegini telah menipiskan rasa hormat rakyat terhadap institusi kepolisan itu sendiri. Tindak - tanduk Polis dibawah kendalian Musa Aman lebih terjurus kepada merajakan kerajaan dan penyokongnya, dan bukannya untuk melindungi rakyat. Tindak tanduk Polis dibawah pimpinan beliau lebih berlandaskan ketidakadilan dan layanan buruk terhadap rakyat.

Rekod Musa Aman bukanlah amat menonjol sehingga memerlukan kontraknya dilanjutkan. Isu - isu rasuah , isu kematian banduan dalam tahanan, isu keselamatan rakyat bahkan isu - isu pendatang dan tahap keselamatan kawasan perumahan amatlah mengecewakan dibawah pimpinan beliau sebagai Ketua Polis Negara.

Sunday, September 6, 2009

Kemana Hilangnya Maruah ?

Video dialog antara penduduk seksyen 23 dengan MB Selangor semalam mencerminkan keadaan yang semakin meruncing disana akibat campur tangan beberapa pihak yang cuba mengeruhkan lagi suasana. Dan berharap ini akan mengucar kacirkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Selanjutnya, kenyataan Menteri Dalam Negeri yang seakan-akan membela mereka yang mengarak kepala lembu tempoh hari telah mengeruhkan lagi keadaan.

Beberapa individu disini bertindak membelakangi norma-norma kesopanan orang Islam akibat emosi yang cenderung kearah lebih kepada mengeruhkan lagi keadaan. Dialog yang mulanya bertujuan untuk menyelesaikan kekusutan berakhir dengan tidak mencapai apa-apa keputusan dan selanjutnya akan mungkin berkesudahan dengan bantahan oleh penganut agama Hindu pula.

Mungkinkah mereka - mereka ini ditaja agar kekecohan berlaku dan kerajaan Pakatan Rakyat akan menanggung akibatnya?

Saturday, September 5, 2009

Zakat Fitrah

Kehebatan SPRM




Bermula akhir 90-an, projek Pelabuhan Bebas Port Klang (PKFZ) sepatutnya menukarkan statusnya dari pelabuhan yang bersaiz sederhana kepada mega dan diharap dapat bersaing dengan pelabuhan Singapura apabila siap kelak. Malangnya , dengan belanjawan perbelanjaan untuknya meningkat lebih sekali ganda daripada RM 1.9 billion kepada RM 3.5 billion. Dan beserta dengan keputusan audit daripada Juruaudit bertauliah Price Waterhouse Coopers yang mengatakan ada unsur penyelewengan dan projek ini akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian.



Dengan pelbagai penyelewengan yang timbul akibat dari projek ini seperti transaksi pembelian tanah, pemberian kontrak secara terus melalui kronisma dan terbaru mengenai pendedahan YB Tiong (kontraktor PKFZ) berkenaan wang RM10 juta yang diberi kepada Presiden MCA YB Ong Tee Keat dan juga Menteri Pengangkutan, tetapi malangnya SPRM menjadi seakan-akan 'siput babi' yang begitu perlahan untuk bertindak.

Lebih malang lagi SPRM lebih berminat untuk bertindak terhadap pemimpin-pemimpin Pembangkang dan menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat sepantas yang boleh. Kerakusan SPRM menyiasat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkesudahan dengan kematian Teoh Beng Hock semasa berada didalam tahanan SPRM , dan kemelut PKFZ disiasat seperti kes kelas kedua. Trajiknya, Teoh Beng Hock telah disoal siasat lebih daripada 10 jam hanya kerana isu RM 2400 sedangkan kes PKFZ dan RM 10 Juta, Ong Tee Keat hanya disiasat untuk 2 jam.

Begitulah antara kehebatan SPRM dalam menjalankan tugas mereka yang sepatutnya bertindak telus dan berkecuali.

Anak Emas No 3 dan Pengundi Pos



Selepas BN mengisytiharkan Manik Urai dan Permatang Pasir sebagai 'Anak Emas' Kerajaan Persekutuan, kini pada PRK Bagan Pinang yang akan datang, BN dibawah pimpinan Najib mungkin akan menjadikan Bagan Pinang sebagai 'Anak Emas' yang ke-3.

Sekali lagilah kita menyaksikan pelbagai janji - janji manis akan dihamburkan oleh BN yang lebih kepada materialistik untuk memancing undi dan seterusnya mengekalkan kerusi tradisi mereka. BN dengan strategi pembangunan dan umpanan wang ringgit telah hampir-hampir berjaya menjadikan Manik Urai sebagai 'Anak Emas' mereka. Kini mereka mungkin berharap pula dengan strategi yang sama, mereka akan dapat mengekalkan kesinambungan pemerintahan di Bagan Pinang.
Walaupun di PRK permatang Pasir, strategi ini gagal, namun ditepis oleh mereka dengan alasan ianya adalah kerana kesilapan calon yang menyembunyikan fakta sejarah hitamnya.

Mungkinkah strategi ini akan berjaya untuk sekian kalinya bagi BN di Bagan Pinang akan lebih bergantung kepada kematangan pengundi-pengundi Bagan Pinang itu sendiri. Jika dihalusi komposisi pengundi disana, Melayu 66% dan selebihnya India 19.9% , Cina 10.5% dll 3.5%, Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi PRK Bagan Pinang. Keadaan parti-parti komponen BN sekarang ini yang kucar-kacir, boleh memberi kelebihan yang ketara kepada Pakatan Rakyat.

Dengan kemelut politik Parti MCA yang mengalami krisis kepimpinan yang teruk di antara orang No 1 dan No 2, persengketaan antara Samy dan Sothia dalam MIC dan konflik kepimpinan antara Kayveas dengan Murugiah dijadikan ukuran, Pakatan Rakyat berada didalam keadaan yang baik untuk merampas kerusi ini.



Namun, jika undi Pos diambil kira, Pakatan Rakyat mungkin akan berputih mata sekali lagi. Mengikut perangkaan, ada lebih kurang 4925 pengundi Pos di DUN Bagan Pinang ini. Jikalau menurut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya untuk PRU-12 lalu, DUN ini mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 14,192 orang pengundi. Ini bermakna, pengundi pos mewakili 34.7% dari jumlah keseluruhan pengundi di DUN ini. Jumlah ini tentulah akan memudahkan calon dari Barisan Nasional untuk memenangi sebarang pilihanraya di kawasan ini kerana mereka cuma memerlukan kira-kira 2,000 undi lagi dari orang awam untuk memenanginya, kerana umumnya Undi Pos selalunya berpihak kepada BN. Oleh kerana itu, Pakatan Rakyat kena lebih berusaha untuk memastikan warga tempatan lebih berpihak kepada Pas untuk PRK Bagan Pinang kali ini.

Friday, September 4, 2009

Pilihanraya Kecil ke 9 - Bagan Pinang



Malaysia bakal menyaksikan pilihanraya kecil yang ke-9 sejak PRU 12 berakhir March 2008 yang lalu apabila ADUN Bagan Pinang Azman Mohd Noor meninggal dunia hari ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah.

Dun Bagan Pinang merupakan satu daripada 5 Dun didalam kawasan parlimen P132 Telok Kemang, Negeri Sembilan. Pada pilihanraya umum yang ke 12, Azman yang mewakili BN memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan Ramli Ismail dari Pas dengan majoriti 2,333 undi. Beliau memperolehi 6,430 undi manakala Ramli pula 4,097 undi. Kawasan tersebut mempunyai komposisi pengundi Melayu 66.1% , India 19.9 % , Cina 10.5 % dan lain - lain 3.5 %.



P132 Telok Kemang mempunyai 5 Dun dimana kerusi Parlimen bersama 3 Dun telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat , sementara 2 Dun lagi dimenangi oleh BN. Dengan kematian YB Azman, dijangka pertembungan satu lawan satu sekali lagi antara calon Pas dan Umno akan berlaku.

Dun Bagan Pinang ini secara tradisinya merupakan kubu kuat Umno/BN. Pada PRU 11, Umno/BN juga telah berjaya mengalahkan calon Pas dengan majoriti yang lebih besar iaitu berjumlah 4,411 undi.

Namun, dengan keadaan BN yang sedang bergolak sekarang ini, MCA dengan masaalah percakaran dua pemimpin tertinggi mereka dan MIC pula bergelut kuasa antara team Samy dan team Sothianathan, disamping isu-isu rasuah serta kematian Teoh Beng Hock yang masih lagi menjadi tanda tanya, tidak mustahil bagi Pakatan Rakyat merampas kerusi ini dari BN. Keadaan BN yang seperti berada dihujung tanduk akan sekali lagi diasak bertubi-tubi oleh Pakatan Rakyat dek disebabkan oleh pemerintahan mereka yang berlandaskan rasuah.