Detik 1 Syawal Aidil Fitri sudah pun hampir seminggu berlalu, kenangan berkunjung ke rumah sanak saudara dan juga sahabat handai sedikit sebanyak dapat mengubat perasaan rindu. Perbezaaan ideologi dan politik dilempar jauh dan tradisi maaf-memaafi berterusan sehingga kini.
Jauh disudut hati , harap - harap diri ini diberi rahmat agar dapat bertemu dengan Ramadhan lagi ditahun hadapan, IsyaAllah....Memang itulah yang meruntun perasaan kita setiap kali berakhirnya Ramadhan dan setiap kali berlalunya detik 1 syawal. Harapan tetap tinggal harapan jika perjalanan yang kita lalui sebulan yang lalu ditinggal begitu sahaja tanpa apa-apa pengajaran yang kita perolehi darinya.
Masjid dan surau-surau kembali suram dengan hanya tinggal beberapa saf sahaja. Tiada lagi kelihatan deretan kereta dan motor dihalaman masjid, tiada lagi suara riuh rendah anak-anak kecil bermain-main dan tiada lagi kelihatan timbunan kasut dan selipar ditangga masjid. Inilah kenyataan yang kita lalui setiap kali berakhirnya Ramadhan dan setelah berlalunya 1 Syawal.
Kita akan kembali menjadi insan yang paling sibuk didunia dengan kerja-kerja duniawi kita. Kalau dulu semasa sebulan bulan Ramadhan , kita sempat berjemaah di Masjid, kita sempat membaca helaian demi helaian Al Quran dan kita rajin bersedekah, tetapi semuanya seakan direntap dari kita. Kita kembali ketabiat lama kita. Kita kembali merasa dangkal jika terus menerus berjemaah di Masjid. Kembali merasa tidak apa jika tidak membaca Al Quran dan merasa tiada apa-apa yang kurang jika tidak bersedekah. Jika itulah yang kita lalui sekarang ini, bermakna kursus sebulan yang kita lalui baru-baru ini masih tidak mencukupi, perjalanan mengharungi sebulan bulan Ramadhan seakan tidak memberi kesan yang mendalam kepada diri kita.
Ayuh marilah kita bersama-sama menilai semula amalan kita selama ini. Marilah bersama-sama kita tingkatkan amalan kita sebanyak mungkin. Alangkah ruginya kita jika tidak berjaya mengambil apa-apa pengajaran dari Ramadhan yang lalu. Mungkin kita tidak akan berjumpa dengan Ramadhan lagi selepas ini.
No comments:
Post a Comment