Saturday, September 12, 2009

Isa Samad ...Innocent !!



Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad menegaskan kes disiplin membabitkan beliau sebelum ini bukanlah isu yang boleh dimainkan pembangkang, sekiranya beliau dicalonkan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Lembaga Disiplin UMNO sebelum ini menggantung keahlian Mohd Isa bermula 24 Jun 2005 sehingga 23 Jun 2008 kerana terbabit dengan amalan politik wang pada Perhimpunan Agung UMNO 2004 selepas memenangi jawatan Naib Presiden.Beliau berkata begitu setelah beliau yang juga bekas Menteri Besar semalam menerima sokongan dari 12 Ketua Umno Cawangan, 12 Ketua MiC Cawangan, dan 4 Ketua MCA Cawangan.

Tambahnya, kesalahannya bukanlah kesalahan jenayah tapi cuma kesalahan disiplin parti, walhal pembangkang yang merupakan bekas banduan boleh pula diterima sebagai YB. Dan beliau begitu yakin akan dapat mempertahankan kerusi Bagan Pinang jika terpilih menjadi calon BN.

Kita tidak boleh menyalahkan Tan Sri Isa Samad apabila beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian, kerana keadaan sekarang ini memanglah memihak kepada beliau. Ini kerana bagi Umno dan sekutunya, kesalahan menggunakan wang untuk berpolitik bukanlah satu perkara yang baru dan sememangnya sudah menjadi sebati dengan darah daging mereka.Dan selama ini pun setiap kali pemilihan Umno, kita akan mendengar lagu yang sama berkumandang di PWTC, dan ada kebenarannya apabila mereka yang menggunakan wang dapat memegang jawatan tinggi dalam parti. Jadi baginya, kesalahan sedemikan rupa hanyalah perkara yang remeh dan rakyat Bagan Pinang khasnya tidak akan ambil peduli tentang perkara ini.

Bagi beliau lagi, jika rakyat dapat menerima Lim Guan Eng malah Datuk Seri Anwar sebgai pemimpin, jadi tidaklah mustahil untuk rakyat memilih beliau semula. Tetapi beliau terlupa atas kapasiti apa, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ini dipenjara atau dihukum oleh mahkamah sebelum ini.Oleh kerana mempertahankan seorang gadis Melayu yang dirogol oleh seorang pemimpin Umno, Lim Guan Eng dijatuhkan hukuman penjara. Dan umum mengetahui perihal kes klasik Datuk Seri Anwar, usungan tilam dan manipulasi fakta serta hakim-hakim yang korup telah menyebabkan Datuk Seri Anwar dipenjara.

Jadi untuk membandingkan kesalahan mereka dengan kesalahan Tan Sri Isa Samad adalah satu helah dan mainan politik 'cetek akal'. Rakyat bukanlah senang untuk diperbodohkan dengan alasan yang sedemikian. Rakyat bukanlah satu badan berwajib yang dapat dimanipulasikan oleh Umno dan juak-juak mereka.

No comments: