Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad didalam blognya menjelaskan bahawa demokrasi menghalalkan demonstrasi cuma jika tiada cara lain yang lebih terbuka. "Memang dalam keadaan terlalu tersepit dan tidak ada cara lain untuk memperjuangkan sesuatu, demonstrasi jalan terpaksa diadakan. "Demikian semasa melawan Malayan Union, orang Melayu berdemonstrasi. Tetapi apabila cara lain terbuka luas demonstrasi tidak sepatutnya menjadi pilihan," tulisnya lagi.
Tetapi sedarkah Tun bahawa demokrasi yang diamalkan pemerintah sekarang merupakan satu demokrasi yang hanya pada nama ? Demokrasi yang diagungkan oleh pemerintah sekarang lebih kepada demokrasi yang cukup kotor dan berat sebelah. Parti - parti pembangkang terpaksa mengharungi satu demokrasi yang cukup memeritkan. Umpama orang bisu yang diajak menjadi juri pertandingan nyanyian...boleh mendengar tapi tidak boleh komen, tidak boleh mengkritik dan tidak boleh memberi nasihat.
Menurut Tun lagi, demonstrasi jalanan merupakan pilihan terakhir jika ada ruang lain yang lebih terbuka...Sedarkah Tun pintu rundingan , pintu penjelasan dan pintu kebenaran untuk bersuara tertutup rapat selama ini? Kita terpaksa menggunakan pelbagai alternatif lain untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat terpaksa menjelaskan isu-isu penting kepada rakyat melalui ceramah - ceramah , melalui blog-blog, melalui surat khabar yang terhad penyebarannya. Sedangkan, pihak kerajaan dengan sewenang-wenangnya mengguna segala jentera kerajaan yang ada seperti RTM dan surat khabar yang sehari-hari mengeksploitasi segala peluang yang ada menghentam Pakatan Rakyat.
Inikah yang Tun maksudkan peluang dan alternatif lain yang terbuka luas untuk dipilih pembangkang? Ruang yang amat terhad untuk bersuara, ruang yang amat terhad untuk memperjelaskan segala kepincangan yang berlaku selama ini. Mengenai demonstrasi jalanan yang dianjurkan GMI baru-baru ini, ianya dapat dielakkan jika pihak yang berwajib dengan rela hati dan mengikut undang-undang yang termaktub didalam perlembagaan memberi kebenaran kepada pembangkang menyerahkan memorandum bantahan ISA kepada Yang Dipertuan Agong secara aman. Tidak sedarkah pihak yang berwajib, demonstrasi ini sebenarnya dirancang secara aman, dan semuanya bertukar menjadi kelam kabut akibat tindakan melulu pihak berkuasa. Tiada siapa yang inginkan konfrontasi, tiada siapa yang mahu datang dari segenap pelusuk negara untuk disimbah dengan air ataupun untuk menghidu bom asap. Tiada siapa juga yang mahu menghabiskan masa dan wang ringgit kerana semata-mata untuk berdemonstrasi. Jika peruntukkan undang - undang yang ada dipergunakan secara berhemah oleh pihak yang berwajib , perkara sebegini akan dapat dielakkan.
Adalah tidak masuk akal jika alasan yang diberikan oleh pihak yang berwajib untuk tidak meluluskan permit kerana tidak dapat mengawal ribuan mereka yang hadir. Walhal , semasa sambutan Hari Kemerdekaan ataupun sambutan citra warna yang acap kali dianjurkan dapat pula dikawal dengan baik oleh pihak yang berwajib. Janganlah rakyat diperbodohkan sedemikian rupa oleh kerajaan. Rakyat semakin matang dan dapat menilai dengan akal mereka sendiri tentang ketidakadilan pemerintah selama ini.
Tidak sedarkah pemerintah betapa zalimnya Akta Dalam Negeri ISA selama ini kepada mereka yang pernah melaluinya. Isteri dibiarkan keseorangan meneruskan sisa hidup, anak -nak diragut kasih sayang bapa, Ibu dan Bapa direntap sisa-sisa kasih sayang yang ada akibat kerakusan pemerintah mempergunakan ISA selama ini. Berap ramai yang menjadi janda dan berapa ramai anak - anak menjadi yatim disebabkan ISA? Mereka yang berdemonstrasi baru-baru ini hanya ingin meluahkan perasaan mereka secara aman kepada pemerintah tertinggi negara kita. Bukannya ingin menjadi penghalang kepada demokrasi dan bukan juga ingin meniru budaya orang luar seperti yang diwar-warkan oleh media pro kerajaan.
Jika benar ada alternatif lain untuk rakyat bersuara, sudah tentulah mereka memilih jalan yang lebih baik dari berdemonstrasi. Sedarlah kita selepas 50 tahun , rakyat dimomokkan dengan pelbagai bentuk tohmahan dan sekatan minda, kini rakyat semakin berani menyuarakan pendapat mereka secara lebih terbuka. Dan segala bentuk demonstrasi negatif dapat dielakkan jika pemerintah lebih bersikap terbuka dan matang.
No comments:
Post a Comment