Kembalinya YB Hamdan ke rahmatullah baru - baru ini mencetus satu lagi ujian kepada perjuangan Pas menuju mardatillah. Sekali lagi selepas Manik Urai , Pas akan diuji lagi dengan serangan - serangan bertali arus pihak BN melalui media arus perdana dan juga melalui jentera kerajaan yang lainnya. Umum mengetahui tindak tanduk BN yang menghalalkan cara hanya untuk satu tujuan, mencapai kemenangan.
Dari segi politik dan isu tempatan di Permatang Pasir, tidak banyak dapat dieksploitasikan oleh BN. Jika isu kemajuan yang diutarakan, bermakna BN akan mengalami lagi satu kekalahan yang lebih tragis, kerana Permatang Pasir tidak seperti Manik Urai. Jika kes liwat Datuk Seri Anwar digembar gemburkan disini , ternyata BN akan lebih malang lagi. Sudah pastinya, tindak tanduk BN akan berkisar kearah menonjolkan perpecahan yang ketara Pakatan Rakyat mutakhir ini.
Pemimpin - pemimpin Pakatan Rakyat seharusnya lebih sensitif dan peka dengan senario politik sekarang ini. Setiap bait kata dan bahasa yang diguna pakai akan dieksploitasikan secara menyeluruh dan disensasikan semaksimum yang boleh oleh BN. Konfrontasi terbuka akan memberi kelebihan ketara kepada BN. Isu - isu sensitif adalah lebih baik di bincangkan sesama Pakatan secara tertutup agar kita tidak terjerumus kedalam perangkap BN. Jangan kita sediakan peluru kepada BN untuk menghentam perpaduan Pakatan Rakyat selama ini, hanya kerana kita berhujah mengikut emosi dan perasaan masing-masing. Ketidaksamaan pendapat adalah lumrah dalam sesuatu pakatan, tapi , janganlah kita bertindak secara melulu tanpa mengira sensitiviti sesuatu kaum atau pegangan agama. Tapi , ini bukannya bermakna kita mengalah ataupun berdiam diri jika Islam di permainkan dek kejahilan wakil dari berlainan agama di dalam Pakatan Rakyat. Matlamat kita hanya satu , menegakkan dan memertabatkan Islam di Malaysia. Dan kita kenalah bersedia untuk berpatah arang jika Islam terus dinodai kesuciannya oleh rakan dalam Pakatan Rakyat.
Pemimpin Pakatan seharusnya lebih banyak berbincang sesama mereka untuk memantapkan lagi keakraban yang terjalin selepas pasca PRU 12 yang lalu. Komen-komen yang lebih bersifat menghentam hendaklah dielakkan secepat mungkin. Dan kepada pemimpin - pemimpin yang tidak mempunyai asas dan pegangan agama Islam tidak seharusnya mengeluarkan komen - komen yang keterlaluan. Seboleh-bolehnya, elakkan dari terperangkap oleh kata-kata dan kebodohan mereka sendiri .
Mutakhir ini, isu-isu sensitif seperti isu penjualan arak di Selangor dan isu babi di Kedah akan digunakan oleh BN semaksimum yang boleh untuk meraih undi simpati dari lebih 25% pengundi bukan Melayu di Permatang Pasir. Isu keceluparan serta kejahilan melampau YB Jeff Ooi terhadap Jemaah Islamiah (JIM) serta isu terpinggirnya orang Melayu di Pulau Pinang akan digunakan bagi meraih undi dari orang Melayu.
Pakatan Rakyat melalui kesepakatan yang ada harus mengambil iktibar dari isu - isu ini. Setiap gerak geri Pakatan terhadap segala kepincangan ini akan menyebabkan terhakisnya pengaruh Pakatan rakyat di Permatang Pasir. Jika dihalusi isu arak di Selangor , apakah sebelum ini Umno dibawah kerjasama BN berani untuk menengahkan isu ini dan membenteras penjualan arak secara terbuka sebegini? Bak kata perpatah Melayu .. "Jauh panggang dari api "...sedangkan di masa pemerintahan Umnolah, kelab - kelab malam tumbuh dengan suburnya. Lupakah kita siapa yang memberi lesen membuka kilang arak Carlsberg di Malaysia?
Tetapi , Umno dengan cepat mengeksploitasikan isu ini dan sekoyong - koyong menjadi jaguh menegakkan hukum Islam. Mengenai dengan isu babi, lupakah kita dengan virus nipah dan terbaru H1N1 ? Adakah salah jika pendekatan mencegah dan membenteras lebih baik daripada membiarkan babi diternak dengan tidak terkawal dan tidak terurus? Mungkin kita sudah lali dan sudah terbiasa setelah 50 tahun dibawah pemerintahan BN, jadi kita tidak lagi sensitif dengan isu babi.
Jadi, marilah kita menyusun saf perjuangan kita sekali lagi untuk sama - sama menentang kezaliman dan kekejaman Umno dan BN. Bersedialah kita untuk menangkis segala tohmahan dan serangan dari Umno sepanjang kempen pilihanraya nanti.
Wallahualam......
No comments:
Post a Comment